Sidang media Setiausaha Akhbar Kanan kepada PM, Tunku Nashrul Abaidah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan berlepas ke Itali esok dalam rangka lawatan kerja dan akan menghadiri Sidang Kemuncak BRICS di Rio de Janeiro, Brazil.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah semasa sidang media mingguan memaklumkan Anwar akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Giorgia Meloni bagi membincangkan kerjasama perdagangan dan ekonomi.
Katanya, selain sesi meja bulat bersama pemain industri utama, Perdana Menteri turut dijadualkan bertemu komuniti Islam di Itali serta diaspora Malaysia bagi menghargai sumbangan mereka sebagai jambatan antara kedua-dua negara.
“Dari Rom, Perdana Menteri akan meneruskan lawatan ke Paris untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
“Tumpuan perbincangan meliputi kerjasama dalam sektor perdagangan, teknologi serta pendidikan tinggi, termasuk sesi meja bulat bersama syarikat utama Perancis,” katanya pada sidang media hari ini.
Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri dijangka menyampaikan syarahan umum di Universiti Sorbonne pada 4 Julai ini.
Katanya, kemuncak lawatan itu ialah penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak BRICS ke-17 di Rio de Janeiro, Brazil atas jemputan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva.
“Kehadiran Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS dan selaku Pengerusi ASEAN 2025 akan menekankan kepentingan multi-laterisme berasaskan undang-undang, tadbir urus kecerdasan buatan, tindakan iklim dan kesihatan global.
“Insya-Allah Perdana Menteri dan delegasi akan tiba di Kuala Lumpur pada awal pagi 9 Julai ini dan kemudiannya akan terus menghadiri mesyuarat Menteri Luar ASEAN pada hari yang sama,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI menaruh harapan tinggi supaya rangkaian pertemuan di Rom, Paris, dan Rio de Janeiro akan memperkasa persahabatan, memacu perdagangan dan membuka limpahan peluang baharu demi kesejahteraan rakyat Malaysia serta seluruh warga ASEAN.
“Ketiga-tiga pusat ekonomi utama iaitu Rom, Paris dan Rio de Janeiro secara kolektif merekodkan nilai dagangan dua hala berjumlah RM50.91 bilion (AS$11.14 bilion) pada tahun lalu,” katanya.
Saifuddin: Polis buka kertas siasatan, dakwaan Ismail dipaksa jadi perhatian
DKU: Tuanku Muhriz kekal bertakhta, proklamasi penurunan tak sah
FGV lantik firma audit bebas, semak isu tadbir urus
Saifuddin mahu elaun RELA RM8 disemak segera
BRICS buka pasaran besar untuk Malaysia: KP JKOM
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum