Macron anggap lawatan PMX ke Perancis penting dan berjaya: Laporan

July 5, 2025 · Isu semasa

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

Presiden Perancis Emmanuel Macron menyifatkan lawatan dua hari Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis sebagai berjaya, dengan kedua-dua negara meningkatkan lagi kerjasama dalam semua sektor.

Beliau berkata ini dicapai melalui pertemuan peringkat tinggi Anwar dengan rakan sejawatnya dari Perancis, François Bayrou dan pegawai kanan lain, ucapan penting beliau di Sorbonne University Paris dan pertemuan dengan wakil perniagaan Perancis.

Macron turut menyifatkan lawatan itu sebagai bermakna berikutan lawatan rasmi terakhir oleh pegawai tinggi Malaysia adalah 15 tahun yang lepas.

Selain itu, katanya beliau gembira melihat kedua-dua negara memeterai perjanjian dalam bidang seperti mineral dan pembelian pesawat.

“Lawatan ini merupakan satu kejayaan. Kami juga mendengar ucapan anda (Anwar) di universiti dan itu adalah detik yang amat penting,” katanya pada sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar di Istana Elysee pada Jumaat.

Terdahulu, Anwar menyampaikan syarahan bertajuk, ‘Southeast Asia and Europe: Recalibrating The Terms of Engagement’ di Sorbonne University Paris apabila beliau menggesa kerjasama yang setara dalam semua aspek antara Asia Tenggara dan Eropah.

Macron berkata hubungan Perancis dengan Malaysia dan ASEAN semakin kukuh serta lawatannya ke Indonesia, Vietnam dan Singapura pada Mei lepas menjadi petunjuk kepada hubungan serantau yang meningkat.

“Di Asia Tenggara, saya menegaskan sokongan kami terhadap jaringan tenaga elektrik serantau, termasuk sokongan terhadap tenaga nuklear awam,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata beliau berharap Presiden Perancis akan mengadakan lawatan ke Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Francophonie ke-20 di Kemboja tahun depan.

Beliau berkata hubungan dua hala antara kedua-dua negara semakin kukuh dengan komitmen daripada kerajaan Perancis di bawah kepimpinan Macron.

“Malaysia Airlines dan AirAsia membeli lebih banyak pesawat. Sarawak juga sedang memperkukuh syarikat penerbangan milik mereka sendiri melalui kerjasama dengan Perancis,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Pada masa yang sama, beliau berharap syarikat Perancis akan terus menghasilkan komponen pesawat di Malaysia.

Dalam sektor tenaga, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bekerjasama dengan rakan-rakannya dari Perancis dalam usaha sama mereka di Amerika Latin dan Afrika.

Awal hari ini, AirAsia menandatangani perjanjian untuk membeli pesawat jarak jauh Airbus 321XLR bernilai US$12.25 bilion (RM51.72 bilion), dengan serahan disahkan pada 2028.

Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara 3P Capital Advisers dan Ardian, syarikat pelaburan persendirian terkemuka dari Perancis dalam usaha meneroka peluang pelaburan dalam pasaran persendirian.

Anwar berkata inisiatif sektor swasta ini dapat memberikan rakyat Malaysia akses yang lebih luas kepada pelaburan alternatif.

Dalam pertemuan dengan Imerys, syarikat pemproses mineral industri yang telah bertapak di Malaysia selama lebih 25 tahun, Anwar berkata syarikat itu telah menyatakan komitmennya untuk memperluas operasi dan menyokong pembangunan sektor pembuatan bernilai tinggi dan mesra alam di negara ini.

Anwar turut mengadakan pertemuan dengan pimpinan Arkema, peneraju global dalam bidang kimia khas yang sedang menilai potensi pelaburan baharu di Malaysia.

Dalam lawatan itu, Anwar diiringi oleh Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Turut menyertai delegasi itu ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Perancis kekal sebagai antara lima rakan dagang utama Malaysia dalam kalangan negara EU.

Pada 2024, jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM15.95 bilion (US$3.63 bilion), dengan RM6.26 bilion (US$1.49 bilion) direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Dari Perancis, Anwar akan ke Brazil untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS dari 5 hingga 7 Julai. – Bernama

Lagi Isu semasa terkini
Guru rugi RM325,000 diperdaya sindiket menyamar pegawai AMLA
3 jam lalu · Isu semasa
Guan Eng desak Sosma dimansuh susulan penahanan remaja 16 tahun
3 jam lalu · Isu semasa
Agong berangkat ke Russia untuk lawatan khas: Laporan
3 jam lalu · Isu semasa
SPRM sita aset RM9.7 juta dalam siasatan pelaburan RM300 juta
3 jam lalu · Isu semasa
Sultan Pahang tegur salah guna kuasa di sebalik baju seragam dan institusi
22 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Ekonomi negara catat pertumbuhan kukuh, ringgit dan bursa meningkat
January 20, 2026
[VIDEO] Kalau ada tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia: Agong
January 19, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok