Sidang media bersama Anwar dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa beliau dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkongsi hasrat yang sama untuk melihat keamanan tercapai, bukan sahaja antara Israel dan Iran tetapi juga di seluruh rantau Timur Tengah.
Meluahkan rasa lega terhadap perkembangan terkini berupa genjatan senjata sementara antara Israel dan Iran, Anwar bagaimanapun berkata Malaysia dan Indonesia mengecam sekeras-kerasnya kekejaman berterusan Israel yang mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, Palestin.
Beliau berkata Malaysia konsisten dalam menyuarakan bantahan tegas terhadap pencerobohan dan pelanggaran Israel ke atas Iran, serta menyokong hak negara itu untuk mempertahankan kedaulatan dan maruahnya.
“Tapi yang penting, seperti yang disentuh oleh Presiden (Prabowo), ada keinginan kita bersama untuk perdamaian tercapai, bukan saja antara Iran dan Israel, tapi seluruh Timur Tengah,” kata Anwar sambil berharap Palestin dapat menjadi sebuah negara yang bebas dan berdaulat.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media bersama selepas pertemuan dua hala di Istana Merdeka semalam.
Terdahulu, Prabowo berkata Malaysia dan Indonesia akan terus menggalakkan penyelesaian secara damai oleh semua pihak, serta menyambut baik gencatan senjata antara Israel dan Iran.
“Kami berharap proses ini dapat diteruskan ke arah perdamaian. Hanya two-state solution yang bisa mengakhiri pertikaian ini.
“Indonesia dan Malaysia memandang perlu ada satu upaya kolektif global untuk mendorong penyelesaian konflik secara damai,” kata beliau sambil menambah Indonesia juga akan terus menyokong kemerdekaan Palestin. – Bernama
SMART berlepas ke Nepal, cari mangsa tanpa kira negara
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
Kes MEX II: DNAA Abu Sahid, isteri ditolak mahkamah
Pegawai IT lesap RM20,000 ditipu tawaran ‘cash out’ BNPL
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum