Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi.
UMNO membuka pintu kepada pemimpin dan ahli Parti Bersatu yang dipecat atau digantung keahlian untuk menyertai parti itu menerusi gagasan “Rumah Bangsa”, kata Asyraf Wajdi Dusuki.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata bersedia menerima mereka tanpa sebarang syarat kerana sebahagian besar pemimpin terbabit sebelum ini berasal daripada parti itu.
“Lagipun semuanya berasal daripada rahim UMNO juga, bagaikan sirih pulang ke gagang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Bersatu mengambil tindakan disiplin terhadap beberapa wakil rakyatnya. Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah dipecat, manakala tujuh lagi wakil rakyat digantung keahlian selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa serta-merta.
Dua ADUN yang dipecat ialah Abdul Razak Khamis, wakil rakyat Sungai Tiang yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah dan Dzowahir Ab Ghani, ADUN Suka Menanti serta Ketua Bersatu Bahagian Alor Setar.
Asyraf berkata, UMNO perlu bersikap terbuka dan berjiwa besar dalam menerima kembali bekas ahlinya demi memperkukuh parti menjelang cabaran politik akan datang.
“Bak kata pepatah, sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Mudah-mudahan semuanya akan memperkuatkan lagi UMNO dan memperteguh Rumah Bangsa,” katanya.
Beliau mengulas kritikan segelintir pihak yang mendakwa langkah itu seolah-olah memberi ruang kepada “orang luar” sehingga mengetepikan pemimpin sedia ada dalam UMNO.
Gagasan “Rumah Bangsa” sebelum ini diperkenalkan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, sebagai usaha menyatukan semula bekas ahli dan penyokong parti itu.
Pada Mac lalu, beliau dilaporkan berkata UMNO sedia menerima semula mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung tanpa syarat.
Pasukan khas pantau isu 3R menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
Hakim sifatkan skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terburuk dunia
Fahmi nasihat Ketua Pengarah J-Kom agar berhati-hati di media sosial
Dikritik ‘katak’ politik, Zaid sasar kembali bertanding PRU atas tiket PAS
PRN Johor: Anwar gesa pengundi pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya