Marzuki dakwa UMNO jatuhkan kerajaan Muhyiddin

July 20, 2026 · Politik

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri itu melupakan jasa UMNO dan Pas, sebaliknya mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2021 tumbang selepas UMNO menarik sokongan.

Menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, beliau berkata sejarah politik negara menunjukkan UMNO menjadi parti yang menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin walaupun sebelum itu pemimpin Bersatu berkenaan berusaha memastikan pentadbiran PN terus bertahan.

“Ketika Ahli-Ahli Parlimen UMNO sedang memegang jawatan sebagai menteri dalam Kabinet, Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN menulis warkah kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan semua Ahli Parlimen BN termasuk UMNO menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Walaupun UMNO yang menjatuhkan Muhyiddin, beliau mencadangkan dan menyokong seorang pemimpin UMNO menjadi Perdana Menteri demi kelangsungan Kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang selepas itu dinamakan Kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya.

Marzuki mengulas kenyataan Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Hamzah Zainudin, yang mengingatkan Muhyiddin supaya tidak melabel Pas sebagai “toksik” memandangkan UMNO dan Pas pernah menyokong pelantikannya sebagai Perdana Menteri.

Menurut beliau, Muhyiddin ketika itu mengekalkan menteri-menteri daripada UMNO dan Pas dalam Kabinet, termasuk Hamzah yang terus memegang portfolio Menteri Dalam Negeri.

“Jika tidak, Pakatan Harapan telah pun menjadi kerajaan pada waktu itu. Namun, madu yang diberikan oleh Muhyiddin dibalas dengan tuba.

“Sejurus selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, gerakan untuk menjatuhkan beliau sebagai Pengerusi PN dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah bermula,” katanya.

Marzuki turut mendakwa gerakan berkenaan diketuai Hamzah dengan sokongan beberapa pemimpin Pas, sekali gus menjadi titik permulaan kepada kemelut dalam PN.

“Dari saat itulah bermulanya PN menjadi toksik. Yang ini saya tidak akan lupa. Jadi, tidak perlulah mengungkit siapa yang menaikkan siapa.

“Hakikatnya, yang menaikkan jugalah yang menjatuhkan. Plot cerita naik-menaik dan jatuh-menjatuh ini masih sedang berlaku dengan begitu hebat pada waktu catatan ini ditulis.

“Watak-wataknya masih orang-orang yang sama. Kita tunggu dan lihat sahaja,” katanya.

Beliau menyifatkan episod itu sebagai pengajaran dalam politik, iaitu seseorang tidak seharusnya terlalu ghairah apabila diangkat kerana pihak yang sama juga boleh menjadi punca kejatuhannya.

Kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin mentadbir negara bermula Mac 2020 sebelum tumbang pada Ogos 2021 selepas kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen. Selepas peletakan jawatan Muhyiddin, Ismail Sabri Yaakob daripada UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan bagi mengetuai pentadbiran yang dikenali sebagai Kerajaan Keluarga Malaysia.

 

Berita berkaitan
Majoriti perwakilan DAP sokong kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga habis penggal
8 jam lalu· Politik
DAP pilih kestabilan, hormati keputusan Anwar kekalkan BN
8 jam lalu· Politik
Hubungan dengan Zahid masih baik, Anwar pilih kestabilan pertahan Kerajaan Perpaduan
14 jam lalu· Politik
Anak nafi dakwaan tular Abdul Azeez ditahan SPRM
16 jam lalu· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Fahmi: Jangan berhenti, perjuangan rakyat mesti diteruskan
7 jam lalu · Politik
Akta Tabung Haji akan dipinda, amanah umat Islam jadi keutamaan
8 jam lalu · Politik
Kemiskinan, dadah ancaman sebenar orang Melayu: Saifuddin Nasution
16 jam lalu · Politik
RM2.58 bilion rugi, Syed Saddiq persoal pelaburan TH sampai ‘naik darah’
16 jam lalu · Politik
14 pembahas sokong DAP terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan
16 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
7 jam lalu
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok