Mat Sabu: Jadikan krisis Negeri Sembilan pengajaran buat pengundi PRN Melaka

October 9, 2026 · Politik

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menggesa pengundi Melaka mengambil iktibar daripada kemelut politik di Negeri Sembilan dengan mengembalikan pentadbiran negeri kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata, perebutan kuasa di tengah penggal hanya mencetuskan ketidakstabilan politik, sedangkan rakyat memerlukan kerajaan yang stabil untuk memastikan pentadbiran berjalan lancar.

“Biarlah apa yang berlaku di Negeri Sembilan itu sebagai satu pengajaran. Di Melaka ini tolong kembalikan pemerintahan kepada PH,” katanya ketika berucap pada ceramah Skandal Tabung Haji: Siapa Khianat Orang Melayu Islam di Melaka, malam tadi.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata tindakan menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat sebelum tamat penggal tidak sepatutnya berulang dalam politik negara.

Beliau turut mengimbas Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyaksikan perubahan kerajaan Persekutuan selepas beberapa Ahli Parlimen menarik sokongan terhadap pentadbiran PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

“Kenapa jatuh? Sheraton Move. Kenapa Sheraton Move? Tamak nak ambil kuasa di tengah jalan. Tak mahu tunggu pilihan raya. Kita kalau tunggu pilihan raya selepas lima tahun, tak apa,” katanya.

Kemelut politik Negeri Sembilan sebelum ini tercetus susulan pertikaian membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri. Pada 27 April lalu, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Tindakan itu menyebabkan kerajaan negeri pimpinan PH kehilangan majoriti mudah dalam DUN yang mempunyai 36 kerusi, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan politik sebelum pembubaran DUN membuka laluan kepada PRN.

Dalam perkembangan berkaitan, Mat Sabu yakin PH mempunyai peluang membentuk kerajaan negeri Melaka sekiranya berjaya memperoleh lebih 15 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Beliau turut menyuarakan keyakinan PH mampu mengatasi BN dalam persaingan kerusi pada pilihan raya itu.

“Melaka ini tempat kita nak meletakkan politik Malaysia di landasan yang betul semula,” katanya.

PRN Melaka ke-16 dijadualkan berlangsung pada 14 November ini selepas DUN dibubarkan pada 23 September lalu.

Berita berkaitan
Zahid tak akan benar usul gugat MB Negeri Sembilan
17 jam lalu· Politik
PN sasar lebih empat kerusi di Melaka hasil rundingan dengan UMNO: Tuan Ibrahim
October 9, 2026· Politik
Adly kritik Akmal, dakwa main sentimen kaum dan agama
October 9, 2026· Politik
PH umum calon PRN Melaka minggu depan
October 8, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
17 jam lalu · Politik
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
22 jam lalu · Politik
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
24 jam lalu · Politik
Parlimen: 19 kes DNAA libatkan 12 ahli politik sejak 2010
October 9, 2026 · Politik
Kemelut Exco: MB Negeri Sembilan minta selesaikan satu-satu
October 8, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok