Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memanggil Meta untuk memberi penjelasan rasmi berikutan laporan Reuters yang mendedahkan syarikat itu mendapat keuntungan daripada iklan penipuan, perjudian dalam talian dan aktiviti haram.
MCMC menyatakan ia berkongsi kebimbangan yang telah disuarakan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan siasatan juga akan dimulakan berhubung pendedahan tersebut.
“Sekiranya terbukti benar, ini dianggap pelanggaran serius terhadap kepercayaan awam dan undang-undang negara,” kata MCMC dalam kenyataan.
Menurut MCMC, sebelum laporan itu diterbitkan, mereka telah mengadakan sesi libat urus dengan Meta bagi menangani isu iklan penipuan dan perjudian dalam talian.
Dalam sesi tersebut, MCMC menyampaikan kebimbangan mengenai jumlah permintaan penurunan kandungan yang amat tinggi yang terpaksa dikemukakan kepada Meta berbanding platform media sosial lain.
Bagi tempoh dari 1 Januari hingga 4 November 2025 sahaja, MCMC mengemukakan sebanyak 157,208 permintaan kepada Meta untuk menurunkan iklan aktiviti haram dalam talian dan 44,922 permintaan berkaitan iklan penipuan.
Angka ini jauh melebihi platform lain seperti TikTok (3,956), Telegram (269), X (11), dan YouTube (45,448) untuk permintaan yang sama.
MCMC berkata, mereka pernah menasihati Meta supaya mengambil pendekatan lebih proaktif memandangkan langkah sedia ada masih tidak mencukupi.
“Aktiviti sebegini terus memberi kesan negatif kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Bagi memastikan keselamatan dalam talian yang lebih berkesan, MCMC menegaskan semua platform perlu dilesenkan secara sah dan bertanggungjawab membuktikan langkah pencegahan aktiviti haram. Mereka juga disaran melaksanakan sistem pengesahan identiti pengguna.
“Sekiranya terdapat bukti mana-mana platform sengaja membantu aktiviti menyalahi undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil,” ujarnya lagi.
PMX mahu tatakelola tanah diperkukuh, pencerobohan dibendung
Subsidi kerajaan turun 40 peratus, bantuan untuk rakyat melonjak
Muhyiddin gesa siasatan telus tragedi Irene Sofiya
MYEG digantung, RM314 juta hasil kerajaan masih tertunggak
130,307 penagih dadah direkodkan setakat Jun
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum