Muktamar PAS desak lesen judi dihentikan beri kuasa kepada Negeri

September 5, 2026 · Politik

PAS mendesak kerajaan Persekutuan menghentikan pemberian lesen perjudian serta memberi ruang lebih besar kepada kerajaan negeri untuk membendung aktiviti itu.

Usul berkenaan diluluskan tanpa bahas pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa Sabtu.

Usul yang dibawa PAS Kawasan Baling itu turut menggesa kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan menilai semula dasar pemberian dan pembaharuan lesen perjudian, termasuk mempertimbangkan penghentian lesen baharu.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkembangan kes berkaitan lesen premis perjudian di Kedah menunjukkan terdapat kekangan perundangan terhadap kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan lebih tegas.

“Justeru, muktamar menggesa kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan menilai semula dasar pemberian dan pembaharuan lesen perjudian, termasuk mempertimbangkan penghentian pemberian lesen baharu.

“Kerajaan negeri khususnya negeri-negeri SG4, juga digesa memperkemaskan undang-undang sedia ada, dasar PBT dan mekanisme pentadbiran berdasarkan nasihat perundangan supaya usaha membendung aktiviti perjudian dapat dilaksanakan dengan asas undang-undang yang lebih kukuh,” katanya ketika membentangkan usul itu.

Ahmad Fadhli berkata, Ahli Parlimen PAS turut digesa membawa isu berkenaan ke Dewan Rakyat bagi mengkaji dan mencadangkan pindaan terhadap undang-undang Persekutuan.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memberi ruang lebih jelas kepada kerajaan negeri menentukan dasar lebih ketat terhadap operasi premis perjudian.

Isu berkenaan kembali mendapat perhatian susulan tindakan kerajaan Kedah yang mengambil pendekatan tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen premis perjudian sebagai sebahagian usaha membendung kesan sosial dan moral aktiviti berkenaan.

Bagaimanapun, dasar itu dicabar melalui proses kehakiman sebelum Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu menolak permohonan kebenaran kerajaan negeri Kedah untuk merayu, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Usul PAS turut menegaskan perjudian dilarang dalam Islam kerana kesannya terhadap individu, keluarga dan masyarakat selain melihat isu berkenaan sebagai sebahagian daripada kepentingan dasar awam, kesejahteraan sosial dan ketenteraman masyarakat.

“Sehubungan itu muktamar berpandangan usaha menangani isu perjudian perlu diteruskan melalui saluran dasar, perbahasan di Parlimen serta pindaan undang-undang yang bersesuaian bagi memperjelaskan bidang kuasa kerajaan negeri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sebanyak 33 usul diterima pada muktamar kali ini daripada PAS Kawasan, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Jawatankuasa PAS Pusat.

Selain isu perjudian, muktamar turut meluluskan tanpa bahas usul berkaitan peningkatan kos sara hidup serta pengukuhan kawalan harga, pendapatan rakyat, peluang pekerjaan dan jaringan keselamatan sosial.

Muktamar turut menerima usul memperkasakan Ameerah serta menubuhkan Jawatankuasa Khas di peringkat PAS Pusat bagi meneliti kedudukan dan peranannya dalam pembangunan kepimpinan, tarbiyah, dakwah serta advokasi Muslimat muda.

Empat usul pula diterima untuk dibahaskan perwakilan, termasuk Agenda Penyatuan Ummah, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan dakwaan mafia korporat, reformasi masa kerja dan tenaga kerja kesihatan serta usaha memperkukuh rantaian pengeluaran padi dan beras negara.

Berita berkaitan
Bersatu dakwa PAS yang rosakkan PN, desak jawab aduan RoS
October 6, 2026· Politik
Dua pemimpin pemuda PAS, PKR selesai kes saman fitnah secara baik
October 6, 2026· Politik
PRN Melaka: PN tunggu tarikh penamaan calon sebelum putus kerjasama
October 6, 2026· Politik
BN masih runding, keputusan kerjasama tunggu selepas mesyuarat SPR: Zahid
October 4, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Zahid tak akan benar usul gugat MB Negeri Sembilan
9 jam lalu · Politik
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
9 jam lalu · Politik
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
14 jam lalu · Politik
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
15 jam lalu · Politik
PN sasar lebih empat kerusi di Melaka hasil rundingan dengan UMNO: Tuan Ibrahim
October 9, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok