Penasihat DAP, Lim Guan Eng.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng diizinkan mahkamah pada Rabu untuk mendapatkan semula pasportnya secara kekal yang sebelum ini ditahan oleh mahkamah berikutan perbicaraan kes rasuah terowong di Pulau Pinang.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, membenarkan permohonan tersebut setelah menerima hujah Penasihat DAP perlu melakukan perjalanan luar negara bagi menjalankan tugas rasminya sebagai Pengerusi Kehormat Persatuan Asean-China bagi Memajukan Kerjasama dan Pembangunan Perindustrian (ACAPICD).
“Mahkamah membenarkan pemohon menerima semula dokumen perjalanan antarabangsa itu secara kekal.
“Bagaimanapun, syarat jaminan digantikan dengan keperluan pemohon melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai. Jumlah jaminan RM1 juta dikekalkan,” jelas Azura ketika membacakan keputusan.
Peguam Guan Eng, Mohd Haijan Omar, dalam hujahnya memberitahu mahkamah anak guamnya telah dilantik oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, untuk memegang jawatan tersebut dan memerlukan pasport secara kekal bagi urusan rasmi kerajaan.
“Beliau memohon pasport secara kekal bukan untuk bercuti, tetapi bagi urusan rasmi mewakili kerajaan Malaysia.
“Tiada orang lain yang boleh hadir atas kapasiti pemohon. Jika terpaksa kerap membuat permohonan pasport sementara, ia akan meremehkan dan memalukan tertuduh,” kata Haijan.
Permohonan itu bagaimanapun mendapat bantahan daripada pihak pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, berpendapat proses memohon pasport sementara tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang merendahkan maruah.
“Saya percaya mana-mana pihak yang didakwa dalam kes jenayah akan melalui perkara yang sama.
“Mereka perlu membuat permohonan, dan permohonan pasport sementara ini tidak pernah dibantah oleh pihak pendakwaan sebelum ini,” jelas Farah Yasmin.
Guan Eng ketika ini sedang membela diri terhadap beberapa pertuduhan rasuah yang membabitkan projek terowong dan jalan raya di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion, yang didakwa dilakukan antara tahun 2011 dan 2017.
Zahid harap MIC terus bersama BN, tapi…
Amanah mahu agihan kerusi lebih adil di Melaka, Johor: Khalid Samad
Tun Faisal tepis dakwaan Bersatu campur tangan politik dalam isu dalaman PAS
Fokus tadbir Perlis, jangan pendek umur politik: Fadhli
Anwar ucap tahniah atas kemenangan BN di Kinabatangan dan Lamag
[VIDEO] Ekonomi negara catat pertumbuhan kukuh, ringgit dan bursa meningkat
[VIDEO] Kalau ada tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia: Agong