Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros.
Pemuda UMNO Johor mencabar DAP supaya membawa isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke peringkat semakan kehakiman bagi menamatkan polemik berpanjangan berkaitan peperiksaan itu.
Gesaan itu dibuat Ketua Pemuda Johor, Noor Azleen Ambros yang berkata, langkah tersebut wajar diambil sekiranya DAP benar-benar yakin UEC selari dengan Perlembagaan Persekutuan serta dasar pendidikan negara.
“Jika mahkamah memutuskan bahawa UEC menepati Perlembagaan dan aspirasi nasional, maka tiada lagi sebab untuk kerajaan menangguhkan pengiktirafannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, keputusan mahkamah akan menjadi penentu muktamad kepada isu tersebut, sekali gus menamatkan perdebatan yang berlarutan sejak sekian lama.
“Semakan kehakiman ini boleh menoktahkan polemik UEC dan membolehkan kerajaan serta semua pihak memberi tumpuan penuh kepada usaha memperkukuh dan memperbaiki sistem pendidikan negara yang lebih mendesak,” katanya lagi.
Noor Azleen turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan DAP yang didakwa terus memainkan isu pendidikan dan perpaduan nasional untuk kepentingan politik sempit.
Beliau berkata, desakan agar UEC diiktiraf bukan perkara baharu, sebaliknya sering diulang dan dipolitikkan secara bermusim, terutamanya menjelang pilihan raya.
“Tindakan menjadikan isu pendidikan dan perpaduan nasional sebagai modal politik adalah tidak bertanggungjawab dan jelas tidak matang,” tegasnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata bahawa sebarang tuntutan yang menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan kaum perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Anwar menegaskan prinsip berkaitan kedudukan Bahasa Melayu akan terus dipertahankan selaras dengan tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri.
Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas hasrat Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, yang dilaporkan mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri berhubung isu pengiktirafan UEC.
Rumah bangsa UMNO terima respons positif: Mat Maslan
Mas Ermieyati dan Ronald digantung keahlian Bersatu dua penggal
AMK persoal aktivis membisu dalam isu ketegangan kaum
UMNO tidak paksa bekas ahli untuk kembali: Tok Mat
Khaled ajak bekas ahli kembali ke UMNO, sahut seruan Zahid pemimpin ulung
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan