Bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri ke-8, Marzuki Mohamad (Kiri).
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin Yassin, Dr Marzuki Mohamad, mengingatkan semua perbelanjaan pilihan raya Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah ditanggung sepenuhnya oleh Parti Bersatu.
Beliau menegaskan Bersatu juga memberikan sumbangan kewangan yang besar kepada PAS sepanjang kempen pilihan raya tersebut.
Kenyataan ini menjawab kenyataan terdahulu Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor, yang menyindir parti rakan PN itu kononnya bergantung pada peralatan pilihan raya yang dibayar PAS.
“Pada PRU-15, PAS tidak menghadapi masalah besar berhubung perbelanjaan pilihan raya. Apabila mereka bertanding menggunakan logo PN, semua peralatan pilihan raya yang menggunakan logo PN disediakan oleh PN.
“Perbelanjaan PN pula semuanya ditanggung oleh Bersatu,” jelas Marzuki melalui satu hantaran di Facebook.
“Hasilnya, PAS menang 43 kerusi Parlimen, iaitu jumlah yang terbesar dalam sejarah PAS sejak 70 tahun berada di persada politik Malaysia,” tambahnya.
Bagaimanapun, Marzuki bersetuju dengan pandangan Sanusi bahawa dana pilihan raya sememangnya memerlukan peruntukan yang sangat besar.
Menurutnya, anggaran RM1 juta bagi satu kawasan Parlimen hanyalah jumlah minimum dan mungkin memerlukan dana yang lebih tinggi, terutamanya di Sabah dan Sarawak yang memerlukan kos logistik yang lebih tinggi.
“Nak cetak bendera mesti ada duit. Poster calon mesti dibayar. Itu belum masuk ‘bill board’, kain rentang, topi, t-shirt, buluh dan kayu untuk pacak bendera dan lain-lain. Ini semua bukan percuma,” katanya.
Beliau turut menjelaskan kos lain termasuk melatih jentera pilihan raya, memberikan elaun kepada agen pengundi (PACA), dan menyediakan kenderaan untuk mengangkut pengundi.
“Jadi pilihan raya ini belanjanya besar. Tidak kira mana-mana parti pun inilah kos yang terpaksa ditanggung,” tegas Marzuki lagi.
SPR nafi tarikh PRU-16 tular
Najib teruskan rayuan hina mahkamah isu titah adendum
AMK: Kenyataan PM berhubung kesan ekonomi global perlu dipandang serius
Rumah bangsa UMNO terima respons positif: Mat Maslan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan