Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.
Isu ketidakpuasan hati dalam kalangan beberapa ahli PKR Sabah berhubung campur tangan pimpinan pusat dalam penentuan jentera dan calon pilihan raya negeri tidak menggambarkan keadaan sebenar parti dan sudah berjaya diselesaikan.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, menegaskan dakwaan tersebut hanya melibatkan segelintir individu dan bukannya mewakili keseluruhan parti di peringkat akar umbi.
Malah, Fuziah sudah menemui ketua-ketua cabang yang membuat kenyataan itu dan mereka kini berpuas hati serta bersemangat untuk memastikan kemenangan parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
“Kenyataan itu dibuat oleh satu dua orang sahaja. Tidak melambangkan perasaan sebenarnya,” jelas Fuziah dipetik laporan media.
“Selepas saya berjumpa (dengan ketua cabang), mereka berpuas hati dan mereka semua mahu memenangkan parti. Jadi semangat memenangkan parti itu lebih besar. Itu (dakwaan) kita dengar dan kita perbaiki mana-mana yang patut,” tambahnya.
Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai mesyuarat sulit 17 ketua dan timbalan ketua cabang PKR Sabah yang kononnya menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap campur tangan perancangan kempen dan penentuan calon oleh pimpinan pusat.
Antara calon yang didakwa menjadi punca ketegangan ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar, bekas Ketua Setiausaha KKD, Datuk Ruji Ubi, dan bekas Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa.
Mengenai jentera pilihan raya, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menekankan, semua operasi kempen akan dilaksanakan oleh jentera tempatan di setiap cabang dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau menyeru semua pihak untuk bersatu padu dan memberi tumpuan kepada memenangi kepercayaan rakyat Sabah dalam PRN yang akan datang.
Dakwaan tawaran AS jatuhkan kerajaan: Polis terima 12 laporan terhadap Hadi
Mahfuz: PAS jangan jadikan syurga sebagai umpan undi
Bukit Aman hubungi Hadi dakwaan AS tawar bantuan jatuhkan kerajaan Malaysia
Tiada retak dalam hubungan PH-BN, kerajaan masih utuh: Chang Lih Kang
Isu campur tangan AS, PKR Setiawangsa buat laporan polis terhadap Hadi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum