Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Menteri Luar China, Wang.
Pemimpin dan wakil kanan daripada tujuh negara serta entiti antarabangsa mengadakan kunjungan rasmi dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) yang sedang berlangsung.
Anwar menerima kunjungan pemimpin dari China, Australia, Pakistan, Turkiye, Palestin, United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah, pelbagai perkara dibincangkan antaranya kerjasama antara kerajaan, pelaburan dan ekonomi.
Dalam pertemuan bersama Menteri Luar China, Wang Yi, Anwar berkata kedua-dua pihak membincangkan pelbagai aspek hubungan Malaysia-China yang terus diperkukuh, susulan lawatan negara Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada April, yang menyaksikan pemeteraian 31 dokumen persefahaman dan perjanjian.
“China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, dengan jumlah dagangan mencecah AS$106 bilion pada 2024.
“Kami turut meneroka usaha merapatkan jurang dagangan serta memperluas kerjasama dalam sektor pelabuhan, gas asli cecair (LNG), air, ekonomi digital dan teknologi hijau,” katanya dalam kenyataan.
Anwar turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan China terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN berhubung situasi di Myanmar, serta menegaskan pentingnya penyelesaian secara aman terhadap isu Laut China Selatan, selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
Dalam pertemuan bersama Menteri Luar Australia, Penny Wong, Anwar berkata Malaysia dan Australia meneruskan perbincangan ke arah memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin sejak 1957.
“Saya menyambut baik minat pelabur Australia dalam sektor pembuatan pintar, ekonomi digital, kecerdasan buatan dan tenaga boleh baharu.
“Australia turut dijemput menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) pada September ini, sejajar dengan potensi besar ekonomi halal sebagai pemacu kerjasama masa depan,” katanya.
Anwar juga berkata pendidikan kekal menjadi salah satu tonggak utama hubungan Malaysia-Australia, dan kedua-dua negara menjangka memeterai memorandum persefahaman (MoU) baharu pada Mesyuarat Pemimpin Tahunan Oktober ini.
Pemeteraian MoU itu merangkumi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan kurikulum serta program pertukaran pelajar.
“Saya turut menghargai sokongan Australia dalam memperkukuh keupayaan vaksin tempatan menerusi dana latihan dan penyelidikan berjumlah AU$500,000,” kata Anwar.
Perdana Menteri juga menyatakan beliau menantikan lawatan rasmi Perdana Menteri, Australia Anthony Albanese ke Malaysia pada Oktober ini, yang dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala berteraskan kepercayaan, nilai bersama dan aspirasi ke arah Indo-Pasifik yang lebih aman dan makmur.
Selain itu, Anwar turut menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Mohammad Ishaq Dar.
Beliau berkata, perbincangan bersama Mohammad Ishaq menyentuh persiapan lawatan rasmi Perdana Menteri Shehbaz Sharif ke Malaysia tidak lama lagi, di mana beberapa memorandum persefahaman (MoU) dijangka dimeterai.
“Alhamdulillah, nilai perdagangan Malaysia-Pakistan meningkat lebih 25 peratus tahun lalu kepada AS$1.76 bilion. Kedua-dua pihak senada memuktamadkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) dan turut membincangkan langkah memperluas eksport daging halal dari Pakistan dengan penekanan terhadap daya saing harga.
“Kami turut meneroka peluang baharu dalam bidang pertanian, termasuk perdagangan beras.
“Kami juga sempat bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global, termasuk hubungan ASEAN-Pakistan serta isu Jammu dan Kashmir.
“Malaysia kekal menyokong penyelesaian secara aman melalui dialog sejajar dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB. Kami turut menggalakkan keterlibatan yang lebih erat antara Pakistan dan ASEAN pada masa hadapan,” katanya.
Mohon kelulusan PBT sebelum bina rumah ibadat: Nga Kor Ming
Sukar dakwa dalam kes spa Chow Kit, ada kelompangan undang-undang: Saifuddin Nasution
Rizab BNM cecah AS$126.9 bilion
Pelan baharu tangani kos sara hidup dilancar tahun ini: Armizan
Pelabur asing terus beli saham tempatan, aliran masuk cecah RM15 juta
Kerajaan tegas pantau kandungan AI berbahaya: Nie Ching
[VIDEO] Menteri Pertahanan beri penjelasan isu rasuah ATM di Parlimen