Politik identiti perlu bina keyakinan, bukan cetus kebencian: Prof Mohd Afandi

13 jam lalu · Isu semasa

Politik identiti tidak seharusnya menjadi alat untuk menakut-nakutkan rakyat atau mencetuskan permusuhan antara kaum dan agama, sebaliknya perlu diurus secara bijaksana bagi membina keyakinan serta memperkukuh perpaduan negara.

Naib Canselor Universiti Antarabangsa MAIWP, Profesor Dr. Mohd Afandi Salleh berkata, persoalan berkaitan kaum, agama, bahasa dan budaya tidak boleh diketepikan dalam perbincangan politik kerana semua itu merupakan sebahagian daripada kehidupan serta pembentukan identiti masyarakat.

Menurutnya, rakyat bukan sahaja menilai kerajaan berdasarkan pencapaian ekonomi, peluang pekerjaan dan mutu perkhidmatan awam, malah turut mengambil kira sejauh mana sejarah, agama dan jati diri mereka dihormati.

“Politik identiti perlu diurus dengan bijaksana, bukannya diabaikan. Mengabaikannya tidak menyebabkan persoalan identiti lenyap. Kebimbangan yang tidak dijawab boleh membuka ruang kepada prasangka,” katanya dalam satu pandangan mengenai politik identiti dan pembinaan negara.

Beliau berkata, dalam konteks masyarakat Melayu, Islam, bahasa Melayu, adat serta pengalaman sejarah mempunyai kedudukan penting dalam membentuk kesedaran terhadap tanah air.

Bagaimanapun, kecintaan terhadap bangsa dan agama tidak sepatutnya diterjemahkan melalui ketakutan atau kebencian terhadap masyarakat lain.

Mohd Afandi menjelaskan, politik identiti yang melampau boleh menyebabkan kejayaan sesuatu kaum dianggap sebagai kerugian kepada kaum lain, manakala kerjasama antara masyarakat pula dilihat sebagai satu kelemahan.

Keadaan itu berisiko merosakkan hubungan masyarakat yang dibina sejak sekian lama, selain membuka ruang kepada diskriminasi, intimidasi dan keganasan apabila prasangka dibiarkan berakar.

Beliau turut mengingatkan kepentingan memahami Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh, khususnya berkaitan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, institusi Raja-Raja serta kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak.

Pada masa sama, kepentingan sah masyarakat lain turut dilindungi Perlembagaan, termasuk melalui Perkara 153, Perkara 3 dan Perkara 152.

“Kerangka ini perlu difahami secara menyeluruh. Membaca Perlembagaan secara terpilih mengikut kepentingan kelompok masing-masing hanya menyukarkan pembinaan kepercayaan antara satu sama lain,” katanya.

Mengulas pendekatan Islam dalam menangani perbezaan masyarakat, beliau merujuk Surah al-Hujurat ayat 13 yang menekankan konsep taaruf atau saling mengenali antara manusia daripada pelbagai bangsa dan keturunan.

Katanya, prinsip itu mengajar masyarakat supaya tidak menghukum sesuatu kelompok berdasarkan prasangka atau tindakan segelintir individu.

Surah al-Ma’idah ayat 2 pula menggariskan kepentingan bekerjasama dalam perkara kebajikan dan ketakwaan serta menjauhi permusuhan.

Sehubungan itu, beliau berpandangan rakyat berbeza kaum dan agama boleh berganding bahu dalam usaha membanteras rasuah, membantu golongan miskin, meningkatkan mutu pendidikan serta menjaga keselamatan masyarakat.

Mohd Afandi turut menegaskan agenda memperkasakan Melayu perlu diterjemahkan melalui peningkatan pendidikan, pembasmian kemiskinan, peluang ekonomi dan pengukuhan institusi yang amanah.

“Maruah Melayu diperkukuh apabila anak-anak mendapat pendidikan bermutu, keluarga mampu keluar daripada kemiskinan dan golongan muda mempunyai peluang membina masa depan,” katanya.

Beliau berkata, penghayatan Islam dalam pemerintahan pula perlu dizahirkan melalui keadilan, amanah dan ihsan, termasuk keberanian membanteras rasuah serta melindungi hak semua rakyat.

Dalam masa sama, politik pencapaian dan politik identiti perlu bergerak seiring supaya kemajuan ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan rakyat tidak terpisah daripada usaha memelihara jati diri negara.

Beliau menegaskan tiada mana-mana parti politik mempunyai hak eksklusif terhadap sesuatu bangsa atau agama kerana rakyat berhak menilai kepimpinan berdasarkan amanah, kemampuan dan hasil kerja.

“Identiti yang dipelihara dengan ilmu serta amanah akan memperkukuh rasa kepunyaan, tanpa menjadikan rakyat berlainan kaum dan agama sebagai musuh,” katanya.

Berita berkaitan
Mahfuz persoal BN umum peletakan jawatan Ismail sebelum Istana sahkan
13 jam lalu· Politik
Ahmad Maslan patut letak jawatan, gesa Rayer
13 jam lalu· Politik
PKR: Jangan kelirukan isu KLSCAH dengan sewa PPR, Akmal dibidas
13 jam lalu· Isu semasa
Jalaluddin Alias hangat disebut bakal jadi MB Negeri Sembilan: Laporan
17 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Pelaburan digital RM812 juta perkukuh kerjasama Malaysia-Perancis
6 jam lalu · Isu semasa
Anwar arah bantuan segera kepada keluarga anggota polis maut
6 jam lalu · Isu semasa
880 calon guru simpanan bakal terima surat lantikan sebelum 14 Disember
13 jam lalu · Isu semasa
13,883 kandungan deepfake dipadam, 61 kes disiasat: Fahmi
13 jam lalu · Isu semasa
181,750 kes scam dalam talian, kerugian cecah RM6.95 bilion
17 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
4 jam lalu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 17 Nov – Ismail letak jawatan, kerajaan Madani stabil dan lawatan Macron
17 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok