Teo Nie Ching.
Semua parti politik, calon dan penyokong diingatkan supaya mengelakkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi memastikan persaingan politik berlangsung secara sihat dan terkawal.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata perbezaan pandangan dan pertikaman lidah antara parti politik mungkin berlaku sepanjang tempoh berkempen, namun perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memainkan isu sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Beliau menggesa semua pihak supaya mengutamakan kempen berasaskan persaingan idea dan tawaran kepada rakyat, bukannya menggunakan sentimen agama, kaum atau institusi diraja untuk meraih sokongan pengundi.
“Saya memang nak galakkan semua parti politik, semua calon dan juga penyokong-penyokong mereka yang terlibat, janganlah kemukakan apa-apa bahan yang menyentuh isu-isu 3R.
“Biarlah kita mengadakan satu kempen yang sihat. Memang kita tidak boleh elakkan semasa kempen mungkin ada *exchange of fires*, tetapi biarlah kita laksanakan satu kempen pilihan raya yang sihat dan biarlah kita elakkan isu 3R,” katanya selepas menyempurnakan program Serahan Sumbangan Deepavali DUN Bukit Permai di Kuil Arulmigu Mariamman, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November.
Dalam perkembangan berasingan, Teo berkata insiden pencerobohan sistem paparan digital di Kluang baru-baru ini perlu dijadikan peringatan kepada semua agensi kerajaan dan pihak berkuasa supaya memperkukuh tahap keselamatan siber masing-masing.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat ini belum menerima permohonan rasmi daripada Majlis Perbandaran Kluang (MPK) untuk mendapatkan bantuan, namun bersedia memberikan khidmat teknikal, nasihat dan kepakaran sekiranya diperlukan.
Beliau menegaskan risiko serangan siber tidak boleh dipandang ringan, terutama ketika masyarakat dan organisasi semakin bergantung kepada Internet serta sistem penyimpanan awan.
“Jangan ingat tidak ada ‘hacker’ yang akan menggodam sistem kita. Sebenarnya risiko ini memang ada dan sangat tinggi,” katanya.
Teo turut menekankan kepentingan peruntukan kewangan mencukupi bagi meningkatkan perlindungan sistem digital serta menjalankan audit keselamatan secara berkala.
Sebelum ini, beberapa sistem paparan LED di sekitar Kluang dilaporkan digodam sehingga memaparkan kandungan lucah, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan sistem digital yang digunakan oleh pihak berkuasa tempatan.
MPK memaklumkan siasatan sedang dijalankan bersama vendor bagi mengenal pasti punca kejadian, selain mengambil langkah pemulihan dan memperkukuh keselamatan sistem. Majlis itu turut memberi amaran tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Isu KKDW terlebih belanja RM2.1 bilion: AMK Selangor persoal penjelasan SUA Zahid
Najib kekal di penjara selagi denda RM50 juta belum dibayar: AG
Putrajaya lulus hampir semua projek pembangunan Kelantan: Menteri Besar
Ibu sokong BN, anak bertanding tiket PH: Kasih sayang tetap utuh
PRN Melaka: PKR pertaruh Ketua AMK di Ayer Molek
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum