Prosiding terakhir Tengku Maimun, peguam bangkit ucap selamat tinggal tanda penghargaan

July 1, 2025 · Isu semasa

Prosiding di kamar mahkamah hari ini mungkin yang terakhir buat Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas tiada tanda-tanda khidmatnya akan disambung selepas ini.

Susulan itu, beberapa peguam bangkit mengucapkan selamat tinggal kepada Tengku Maimun sebagai tanda penghargaan kepada beliau semasa prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Selain Tengku Maimun yang juga wanita pertama dilantik Ketua Hakim Negara yang akan menamatkan perkhidmatannya kerana mencapai umur persaraan wajib, ucapan selamat tinggal turut diajukan kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim yang akan tamat perkhidmatan Khamis.

Peguam Anand Raj bagi pihak Majlis Peguam Malaysia menyampaikan ucapan perpisahan sebagai tanda penghormatan kepada kepimpinan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara yang luar biasa.

“Hari ini kita bukan sekadar menyaksikan tamatnya perkhidmatan seorang Ketua Hakim Negara, tetapi juga meraikan legasi luar biasa yang telah mengubah wajah kehakiman Malaysia secara menyeluruh.

“Tun (Tengku Maimun) bukan sahaja Ketua Hakim wanita pertama dalam sejarah negara, malah telah memperkukuhkan kembali maruah badan kehakiman yang pernah tercalar akibat krisis kehakiman 1988.

“Kepimpinan beliau telah memulihkan keyakinan awam terhadap institusi ini dan meletakkannya setaraf dengan kehakiman terbaik di Komanwel,” katanya yang juga Timbalan Presiden Majlis Peguam Negara.

Turut menyampaikan penghargaan, peguam kanan Datuk Gurdial Singh Nijar yang menyifatkan Tengku Maimun sebagai tokoh yang memartabatkan kebebasan kehakiman, terutama ketika institusi itu berdepan tekanan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Cadangan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan beliau bukanlah cubaan mempolitikkan institusi kehakiman, sebaliknya ia lahir daripada rasa hormat terhadap mutu penghakiman beliau yang menepati standard antarabangsa,” katanya.

Peguam Lim Wei Jiet pula menyifatkan Tengku Maimun sumber inspirasi kepada generasi baharu dalam bidang perundangan.

“Kesetiaan Tun (Tengku Maimun) terhadap Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang dan doktrin pengasingan kuasa telah mencetuskan semula kebangkitan semangat perundangan di negara ini,” katanya.

Peguam Raja Eileen Soraya Raja Aman yang turut hadir di galeri awam, bangkit berdiri secara spontan.

“Tolonglah tinggalkan pejabat dengan ‘heads high’ kerana anda telah membolehkan kami juga untuk mendongak dengan bangga,” katanya.

Selepas empat peguam terbabit bangkit menyampaikan ucapan selamat tinggal itu, Tengku Maimun menzahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Majlis Peguam Malaysia dalam satu ucapan ringkas pada hari terakhir beliau itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda atas kata-kata anda, Majlis Peguam Malaysia sentiasa berdiri di belakang kami, (dan) kami menghargai sokongan anda.

“Semua sokongan diberikan oleh anda dalam masa mencabar yang kita hadapi, apabila badan kehakiman diserang. Kita boleh katakan kita telah dipertahankan oleh Majlis Peguam Malaysia dan beberapa badan serta individu lain.

“Untuk itu, saya bersyukur. Terima kasih atas semua ucapan yang baik. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada semua ahli majlis peguam semoga anda berjaya dalam semua usaha anda. Terima kasih, mahkamah ditangguhkan,” katanya yang turut mewakili Abang Iskandar.

Lagi Isu semasa terkini
MCMC perkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi Program MADANI Kita
July 25, 2026 · Isu semasa
Tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum, PM ingatkan Sanusi
July 25, 2026 · Isu semasa
Anwar yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
July 25, 2026 · Isu semasa
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
July 25, 2026 · Isu semasa
Tarif AS tidak setinggi negara lain, rundingan akan tetap diteruskan: PMX
July 24, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Manivanan yakin gelombang sokongan kepada PH di Jeram Padang meningkat
July 27, 2026
[VIDEO] PH komited perkasa kebajikan rakyat Jeram Padang
July 27, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok