Rafizi Ramli.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, menyifatkan keputusan PKR yang tidak mengambil tindakan disiplin terhadapnya sebagai satu “pusingan U” selepas menerima surat tunjuk sebab daripada parti baru-baru ini.
Rafizi berkata, kandungan surat yang dihantar oleh Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, jelas memberi gambaran ia bertujuan membuka jalan untuk memecatnya daripada parti.
“Yang berlaku sebenarnya PKR U-turn kerana surat tunjuk sebab yang pertama itu tujuannya ialah untuk memecat saya.
“Daripada kandungan surat itu memang jelas arahnya ke situ,” katanya dipetik laporan media.
Menurut Rafizi, surat berkenaan merujuk kepada kenyataannya sebelum ini mengenai hasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang tanpa menggunakan tiket PKR, yang ditafsirkan oleh parti sebagai tindakan mengisytiharkan keluar daripada keanggotaan.
“Bahawa tindakan saya menyatakan hasrat untuk bertanding tetapi bukan atas tiket PKR telah diertikan oleh setiausaha agung sebagai mengisytiharkan keluar parti.
“Jadi memang jelaslah ke mana tujuannya,” katanya.
Kontroversi itu tercetus selepas Rafizi menerima surat tunjuk sebab daripada PKR yang mendakwa kenyataannya menunjukkan beliau sudah tidak lagi setia kepada parti.
Dalam surat jawapannya, beliau menegaskan kenyataan yang dibuat sebelum ini adalah jelas dan tidak memerlukan tafsiran rumit.
“Kenyataan itu mempunyai maksud seperti yang boleh difahami oleh sesiapa yang mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang baik,” katanya dalam jawapan tersebut.
Sebelum ini, Rafizi turut mendakwa Presiden PKR dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, cuba memberi tekanan supaya beliau keluar sendiri daripada parti agar tidak perlu dipecat, sekali gus membolehkannya kekal sebagai Ahli Parlimen.
Bagaimanapun, PKR kemudian memutuskan untuk mengekalkan keahlian Rafizi sambil mengingatkannya supaya mematuhi perlembagaan serta kod etika parti.
Ditanya sama ada parti mungkin bimbang untuk memecatnya, Rafizi berkata beliau tidak mengetahui perbincangan dalaman kepimpinan parti.
“Saya tak tahu apa perbincangan mereka, apa niat dan objektif mereka. Saya juga tak mahu membuat spekulasi. Apa-apa pun tindakan saya, saya memang sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.
Rafizi sebelum ini pernah memegang jawatan timbalan presiden pkr dan menteri ekonomi, serta dikenali sebagai antara tokoh penting yang membina strategi kempen parti sejak lebih sedekad lalu.
Namun kebelakangan ini, hubungan beliau dengan kepimpinan parti dilihat semakin tegang susulan beberapa kenyataan terbuka mengenai hala tuju politiknya menjelang pilihan raya akan datang.
Kes saman Rosmah: Saksi dedah wang, barang kemas bertaburan dalam serbuan Pavilion
Tangguh PRN: Mat Maslan jelaskan itu pandangan peribadi
Rosmah nafi hilangkan barang kemas dari Lubnan
AMK Johor cadang tangguh PRN, fokus bantu rakyat hadapi krisis
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan