Ringgit.
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin, didorong oleh kebimbangan mengenai pelan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif ke atas tiga rakan dagang utama mulai 1 Ogos 2025.
Pada hujung minggu lepas, Presiden AS Donald Trump mengumumkan pelan untuk mengenakan tarif sebanyak 30 peratus ke atas barangan dari Kesatuan Eropah dan Mexico serta 35 peratus ke atas produk dari Kanada.
Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.2405/2635 berbanding dolar AS daripada 4.2475/2525 pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, AS telah menggunakan tarif sebagai strategi untuk meraih kelebihan ekonomi.
“Ternyata, instrumen dasar tarif telah dijadikan sebagai strategi oleh AS untuk menangani ketidakseimbangan ekonomi.
“Ini bermakna risiko penurunan terhadap pertumbuhan global kekal tinggi manakala risiko inflasi yang lebih tinggi terutamanya di AS semakin ketara, menyukarkan proses membuat keputusan oleh Rizab Persekutuan (Fed) mengenai penurunan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, ringgit dijangka kekal dalam jajaran kecil antara RM4.24 dan RM4.25 berikutan ketidaktentuan global yang berterusan.
Pada sesi pembukaan, ringgit tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8792/8950 daripada 2.8893/8929, mengukuh berbanding pound kepada 5.7234/7544 daripada 5.7524/7592 dan naik berbanding euro kepada 4.9546/9815 daripada 4.9679/9737 sebelum ini.
Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding kebanyakan mata wang ASEAN kecuali baht Thailand.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3119/3303 daripada 3.3186/3228, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 261.4/263.0 daripada 261.8/262.3 dan menambah berbanding peso Filipina kepada 7.51/7.55 daripada 7.52/7.53.
Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding baht Thailand kepada 13.0916/1711 daripada 13.0668/0886 pada Jumaat lepas. – Bernama
Pelan baharu tangani kos sara hidup dilancar tahun ini: Armizan
Adam pertahan sekatan perjalanan peminjam PTPTN
Bantuan SARA RM100 disalurkan bermula hari ini
Ternakan babi dibenar jika jauh dari kawasan penduduk: Anwar
Pembinaan rumah ibadat perlu patuh undang-undang: PMX
Kerajaan tegas pantau kandungan AI berbahaya: Nie Ching
[VIDEO] Menteri Pertahanan beri penjelasan isu rasuah ATM di Parlimen