Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).
Kegagalan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun disifatkan sebagai tamparan besar terhadap agenda reformasi negara.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyuarakan kekecewaan apabila RUU itu tidak berjaya memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, walaupun hanya kekurangan dua undi untuk diluluskan.
Pengerusinya, Faisal Abdul Aziz, berkata pindaan yang dibentangkan kerajaan itu merupakan antara cadangan reformasi paling signifikan pernah dibahaskan di Parlimen.
Menurutnya, proses libat urus yang dijalankan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang bersama pertubuhan masyarakat sivil dan pakar perlembagaan menunjukkan usaha serius untuk memastikan pindaan itu dirangka secara teliti serta inklusif.
“Ini sesuatu yang amat mengecewakan kerana ia adalah langkah reformasi yang baik untuk memperkukuh tadbir urus dan amalan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Dewan Rakyat menolak RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 selepas hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, manakala 44 berkecuali dan 32 tidak hadir. Keputusan undi belah bahagi itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, selepas perbahasan melibatkan 41 wakil rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sebelum ini dilihat sebagai sebahagian usaha pembaharuan institusi, susulan sejarah politik negara yang menyaksikan pemimpin mentadbir terlalu lama sehingga mencetuskan kebimbangan terhadap semak dan imbang kuasa.
Faisal mendakwa kegagalan RUU itu berpunca daripada pendirian sebahagian Ahli Parlimen pembangkang yang enggan menyokong pindaan berkenaan.
Beliau turut menolak hujah bahawa had tempoh bercanggah dengan prinsip Islam atau kononnya menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Saya setuju reformasi perlu menyeluruh, bukan hanya melalui satu RUU, namun apa masalah sebenar untuk pembangkang menyokong cadangan ini?
“Hari ini rakyat sudah melihat dan menilai mereka dengan sengaja menggagalkan usaha reformasi yang baik untuk negara,” katanya.
Menurutnya, peluang memperkukuh demokrasi melalui had tempoh jawatan kini terlepas, sekali gus memperlihatkan perbezaan ketara dalam kalangan Ahli Parlimen mengenai hala tuju pembaharuan institusi negara.
Kawal mulut timbalan dan ketua pemuda UMNO dulu: DAPSY beritahu Zahid
Politik matang kunci kukuhkan perpaduan negara: Anwar
PAS buat pusingan-U, Hadi umum Hamzah jadi Ketua Pembangkang bukan Samsuri
Hamzah umum parti baharu, tapi tidak letak jawatan seperti Rafizi
AMK kenal pasti calon muda hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan: Kamil
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi