Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan.
Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan membidas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang menasihati MIC agar hanya membangkitkan isu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) dan bukan di khalayak ramai.
Saravanan dalam satu kenyataan pada Isnin menyifatkan teguran Mohamad itu sebagai tidak tepat dan bersifat ‘selektif’, sambil menegaskan UMNO sendiri berulang kali mengetepikan keputusan dan semangat konsensus BN.
“Dengan segala hormat, ingatan Tok Mat tampak agak selektif. Selepas PRU15, BN berada dalam krisis apabila Datuk Seri Zahid Hamidi secara unilateral mengutus surat kepada Istana mendakwa BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Tindakan itu sendiri dibuat tanpa pengetahuan, persetujuan atau mandat Majlis Tertinggi BN,” katanya.
Beliau menambah, apabila perkara itu terbongkar, tiga daripada empat parti komponen bersetuju Zahid perlu berundur dan jawatan Pengerusi BN diambil alih oleh Tok Mat.
“Bagaimanapun, keputusan itu tidak pernah dilaksanakan kerana Tok Mat memilih untuk berdiam diri.
“Jika resolusi BN sendiri tidak boleh dikuatkuasakan, apa gunanya menasihati orang lain supaya hanya ‘bercakap dalam mesyuarat’?” soal Ahli Parlimen Tapah itu.
Saravanan turut membangkitkan beberapa isu lain yang didakwa tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat BN, termasuk akuan bersumpah (SD) calon-calon BN, pembahagian kerusi pada pilihan raya negeri yang lalu, pelantikan Johari Abdul Ghani sebagai Menteri, serta isu addendum berkaitan Najib Razak.
“Apabila MIC dan MCA dinafikan tambahan dua kerusi, adakah perkara itu dibincangkan dalam Majlis Tertinggi BN? Jawapannya jelas: tidak,” ujarnya.
Saravanan berkata beliau menghormati Mohamad sebagai sahabat, namun berpendapat Timbalan Presiden UMNO itu gagal bertindak pada saat genting.
“Untuk beliau menegur MIC kononnya tentang bercakap dalam mesyuarat sedangkan UMNO sendiri membelakangi rakan gabungan, mengelirukan Istana dan mengabaikan resolusi BN, ia bukan sahaja tidak adil, malah amat ironik,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau juga berkata MIC mempunyai hak untuk bersuara dan menyatakan pandangan.
“MIC sejak dahulu sentiasa bersuara dengan tegas, konsisten dan berprinsip. Masalah sebenar bukan MIC yang berdiam diri, tetapi pengkhianatan UMNO terhadap kepercayaan sesama gabungan.
“Sejujurnya, bila melihat keprihatinan tiba-tiba tentang ‘berbincang dalam mesyuarat BN’, saya sendiri tidak tahu patut ketawa atau menangis,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada nasihat Mohamad semalam yang menggesa kepimpinan MIC agar tidak mengambil jalan singkat mengeluarkan kenyataan di luar Dewan Tertinggi BN.
Rafizi teruskan saman fitnah terhadap Caprice kerana dakwaan rasuah
Seorang MKT UMNO persoal gesaan ganti Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA
Syahredzan cadang peruntukan Ahli Parlimen ikut jumlah pengundi
Gobind mahu peruntukan Ahli Parlimen bebas diskriminasi
Bendera terbalik di Johor, Akmal tak mahu anjur himpunan seperti di P. Pinang?
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri