Majlis Media Malaysia.
Majlis Media Malaysia (MMM) memulakan Fasa Dua Mekanisme Aduan hari ini hingga 30 September, dengan semua aduan kini wajib dikemukakan melalui borang rasmi yang disediakan.
Dalam kenyataan hari ini, MMM memaklumkan aduan tidak lagi diterima melalui e-mel danperubahan itu bertujuan memastikan setiap aduan direkod dan diproses secara lebih sistematik, telus serta berakauntabiliti.
Menurut MMM, pendekatan interim yang diperkenalkan sebelum ini masih dikekalkan.
“Sekiranya pengadu belum mengemukakan aduan secara langsung kepada organisasi media berkaitan, sekretariat akan bertindak sebagai pemudah cara dengan menyalurkan aduan kepada pihak berkenaan untuk tindakan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
Tambah MMM, langkah tersebut selari dengan prinsip penyelesaian isu perlu bermula di peringkat organisasi media sendiri sebelum sebarang campur tangan lanjut dilakukan.
Orang ramai juga digalakkan untuk menyemak Kod Etika MMM serta garis panduan berkaitan sebelum mengemukakan aduan bagi memastikan setiap laporan memenuhi syarat ditetapkan.
Sebagai latar belakang, mekanisme ini diperkenalkan sebagai sebahagian usaha memperkukuh kawal selia kendiri industri media di Malaysia.
Ia bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme dan memastikan laporan berita mematuhi standard etika yang tinggi.
Sepanjang Fasa Satu yang berlangsung dari 22 Januari hingga 31 Mac lalu, MMM menerima lima aduan melibatkan pelbagai isu termasuk ketepatan laporan, penggunaan imej tanpa kebenaran serta kesan kandungan terhadap keharmonian sosial.
“Semua aduan telah diselesaikan dalam tempoh tersebut, dengan kadar penyelesaian 100 peratus di peringkat saringan awal,” menurut MMM, sambil menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti keberkesanan sistem penapisan sedia ada.
MMM menegaskan mekanisme aduan ini bukan bersifat menghukum, sebaliknya berfungsi untuk memperkukuh akauntabiliti, memperbaiki amalan kewartawanan dan membina kepercayaan awam terhadap media.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah penting dalam memastikan industri media negara terus berkembang secara bertanggungjawab, di samping menyediakan saluran rasmi untuk menangani isu etika kewartawanan.
Perjanjian damai AS-Iran belum mampu pulihkan pasaran serta-merta: Akmal
Inflasi dijangka kekal terkawal tahun ini: Akmal Nasrullah
AS, Iran capai kata sepakat tamatkan konflik
Warga emas rugi RM9 juta diperdaya pelaburan tidak wujud di Kuching: Bernama
Rosmah nafi dakwaan miliki rumah agam RM55 Juta di Amerika
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi