Kod Perlindungan Kanak-Kanak Di Bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
Kod Perlindungan Kanak-Kanak Di Bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
JADUAL KANDUNGAN
Bahagian A: Inisiatif Bawah Umur 16 Tahun
Bahagian B: Apakah yang Perlu Anda Tahu Tentang Pengesahan Umur
Bahagian C: Bagaimanakah Pengesahan Umur Dilaksanakan?
Bahagian D: Peranan dan Tanggungjawab
Bahagian E: Kod Perlindungan Kanak-kanak
Pemberi perkhidmatan berlesen merujuk kepada pemberi perkhidmatan dalam talian, termasuk platform media sosial, yang memegang lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Bagi tujuan dokumen ini, istilah ‘perkhidmatan dalam talian’ dan ‘platform’ digunakan secara silih berganti, mengikut kesesuaian berdasarkan konteks.
BAHAGIAN A: Inisiatif Bawah 16 Tahun
1. Mengapakah perlindungan dalam talian yang lebih kukuh untuk kanak-kanak diperlukan pada masa kini?
Kanak-kanak hari ini terdedah kepada kandungan, interaksi dan sistem algoritma dalam talian pada skala serta tahap yang semakin meluas dan kompleks.
Memandangkan kanak-kanak masih dalam proses membangunkan keupayaan untuk menilai risiko, mengurus interaksi dalam talian dan membuat keputusan secara bijak, mereka lebih terdedah kepada kemudaratan dalam talian berikutan tahap perkembangan kognitif dan emosi mereka. Ini termasuk pendedahan kepada kandungan memudaratkan, interaksi tidak selamat dengan pengguna lain serta ciri platform yang boleh menggalakkan penggunaan berpanjangan atau tidak bersesuaian.
Oleh itu, perlindungan dalam talian yang lebih kukuh diperlukan bagi memastikan perkhidmatan dalam talian direka bentuk dan dikendalikan dengan lebih selamat serta bersesuaian dengan umur kanak-kanak.
2. Apakah syarat umur minimum Malaysia bagi pendaftaran akaun media sosial?
Pengguna kanak-kanak di bawah umur 16 tahun tidak dibenarkan mendaftar akaun media sosial.
Selaras dengan kewajipan statutori mereka untuk melindungi keselamatan dalam talian pengguna kanak-kanak di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] (“ONSA”), pemberi perkhidmatan media sosial dijangka melaksanakan langkah yang munasabah bagi menghalang pengguna kanak-kanak daripada mendaftar akaun yang tidak mematuhi syarat umur minimum.
3. Mengapakah umur 16 tahun dipilih?
Pada usia 16 tahun, pengguna kanak-kanak secara amnya lebih berkeupayaan untuk menilai risiko, mengurus interaksi dalam talian dan menggunakan pertimbangan sewajarnya dalam persekitaran digital.
Had umur minimum ini mengambil kira kebimbangan antarabangsa yang semakin meningkat berkaitan pendedahan pengguna kanak-kanak kepada kemudaratan dalam talian, serta faktor perkembangan kanak-kanak termasuk perkembangan kognitif dan emosi mereka.
4. Adakah langkah ini bertujuan untuk melarang kanak-kanak daripada menggunakan Internet?
Tidak. Langkah ini bukan bertujuan untuk melarang kanak-kanak daripada menggunakan Internet atau menafikan akses mereka kepada teknologi.
Sebaliknya, langkah ini bertujuan untuk menggalakkan pendaftaran media sosial dan akses kepada ciri platform yang bersesuaian mengikut umur, di samping menggalakkan tanggungjawab bersama antara pemberi perkhidmatan media sosial, ibu bapa dan penjaga dalam melindungi kanak-kanak dalam talian.
5. Bagaimanakah pengesahan umur diperkenalkan di bawah ONSA?
Langkah pengesahan umur dilaksanakan menurut kewajipan statutori pemberi perkhidmatan aplikasi (ASP) dan pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan (CASP) berlesen di bawah Bahagian III, seksyen 18 ONSA yang mewajibkan ASP dan CASP berlesen melindungi keselamatan dalam talian pengguna kanak-kanak.
Langkah pelaksanaan khusus dinyatakan dalam Kod Perlindungan Kanak-Kanak (“CPC”) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya menurut subseksyen 80(2) ONSA, yang menetapkan langkah yang perlu dilaksanakan oleh ASP dan CASP berlesen bagi memastikan penggunaan perkhidmatan mereka selamat untuk pengguna kanak-kanak, termasuk mekanisme pengesahan umur.
6. Adakah pendekatan Malaysia selari dengan amalan yang dilaksanakan di negara lain?
Beberapa negara di seluruh dunia, termasuk Australia, Brazil dan Indonesia, telah melaksanakan atau mengumumkan langkah sekatan umur bagi pengguna kanak-kanak, manakala banyak negara lain seperti United Kingdom, Sepanyol, Perancis, Thailand dan Korea Selatan sedang mengkaji atau membangunkan kerangka yang seumpamanya.
Begitu juga dengan Malaysia, pendekatan yang diambil juga adalah selari dengan perkembangan antarabangsa semasa berkaitan keselamatan dalam talian dan langkah sekatan umur.
BAHAGIAN B: Apakah Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Pengesahan Umur?
7. Apakah pengesahan umur bagi pemberi perkhidmatan media sosial?
Pengesahan umur merujuk kepada langkah yang perlu dilaksanakan oleh pemberi perkhidmatan media sosial berlesen yang menawarkan perkhidmatan media sosial bagi memastikan hanya pengguna yang berumur 16 tahun dan ke atas dibenarkan mendaftar akaun dan mengakses mana-mana ciri perkhidmatan yang bersesuaian dengan umur mereka.
Melalui pendekatan ini, pemberi perkhidmatan media sosial yang berkaitan dikehendaki melaksanakan langkah pengesahan umur yang berkesan, termasuk pengesahan terhadap rekod yang dikeluarkan oleh Kerajaan, secara selamat, praktikal dan menghormati privasi pengguna.
8. Mengapakah Malaysia memperkenalkan pengesahan umur bagi media sosial?
Malaysia memperkenalkan pengesahan umur sebagai pendekatan kawal selia yang lebih menyeluruh untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, khususnya bagi pengguna kanak-kanak.
Langkah ini bertujuan mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan memudaratkan, interaksi tidak selamat dan fungsi platform yang mungkin tidak bersesuaian dengan umur mereka. Ia juga menyokong akauntabiliti platform yang lebih kukuh dalam memastikan perkhidmatan media sosial lebih selamat dan bersesuaian mengikut umur kanak-kanak.
9. Apakah yang perlu dilakukan oleh pengguna untuk mengesahkan umur mereka?
Pengguna perlu melengkapkan proses pengesahan umur sebelum mewujudkan akaun media sosial atau meneruskan penggunaan akaun sedia ada.
Proses ini mungkin berbeza mengikut pemberi perkhidmatan media sosial, namun pengguna hendaklah diberikan arahan yang jelas mengenai langkah yang perlu diambil.
10. Apakah dokumen yang boleh digunakan untuk pengesahan umur?
Pengesahan umur akan dilaksanakan menggunakan dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan seperti MyKad atau pasport.
Pemberi perkhidmatan media sosial perlu menyediakan arahan yang jelas berhubung proses pengesahan, termasuk maklumat yang diperlukan, kaedah pelaksanaan serta tatacara pengendalian maklumat pengguna.
11. Adakah proses pengesahan umur sukar dan rumit?
Proses ini seharusnya menjadi mudah, selamat dan mesra pengguna.
Pemberi platform media sosial dijangka menyediakan pilihan pengesahan yang mudah diakses serta panduan yang jelas bagi membantu pengguna melengkapkan proses tersebut dengan lancar.
12. Adakah pengguna kanak-kanak sedia ada di platform media sosial juga perlu mengesahkan umur mereka?
Pengguna kanak-kanak sedia ada juga perlu melalui proses pengesahan umur sebagai sebahagian daripada pelaksanaan ini, bagi memastikan hanya pengguna berumur 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar akaun media sosial.
13. Apakah yang akan berlaku sekiranya pengguna kanak-kanak tidak mengesahkan umur mereka?
Pengguna kanak-kanak yang tidak melengkapkan proses pengesahan umur mungkin:
Tidak dapat mendaftar akaun; dan
Dikenakan sekatan terhadap akses akaun atau ciri platform.
BAHAGIAN C: Bagaimanakah Pengesahan Umur Dilaksanakan?
14. Apakah kaedah yang boleh digunakan oleh platform untuk mengesahkan umur?
Pemberi perkhidmatan media sosial boleh menggunakan kaedah-kaedah pengesahan umur berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh Kerajaan.
15. Mengapakah Malaysia mengamalkan pendekatan neutral teknologi?
Malaysia mengamalkan pendekatan berasaskan hasil, neutral teknologi dan berasaskan risiko bagi memberi fleksibiliti kepada pemberi perkhidmatan media sosial untuk melaksanakan kaedah yang berkesan, selamat dan sesuai dengan perkhidmatan mereka.
Tiada teknologi khusus diwajibkan, selagi langkah yang dilaksanakan memenuhi keperluan kawal selia termasuk keperluan berkaitan ketepatan, privasi dan keselamatan.
16. Adakah maklumat peribadi pengguna akan dilindungi?
Kaedah pengesahan umur yang dilaksanakan mesti mematuhi undang-undang perlindungan data dan keperluan kawal selia Malaysia yang terpakai.
17. Adakah pemberi perkhidmatan media sosial akan mengumpul data peribadi yang tidak diperlukan?
Kaedah pengesahan umur yang dilaksanakan mesti dihadkan kepada maklumat yang diperlukan bagi tujuan proses pengesahan umur.
Pemberi perkhidmatan media sosial perlu memastikan sebarang maklumat peribadi yang dikumpul hanya digunakan untuk tujuan pengesahan umur dan dikendalikan secara selamat selaras dengan undang-undang perlindungan data dan keperluan kawal selia Malaysia yang terpakai.
18. Adakah pemberi perkhidmatan media sosial antarabangsa juga perlu mematuhi undang-undang Malaysia?
Pemberi platform media sosial yang menawarkan perkhidmatan kepada pengguna di Malaysia perlu mematuhi undang-undang serta keperluan kawal selia Malaysia yang berkuat kuasa, termasuk ketetapan di bawah ONSA.
Keperluan ini terpakai tanpa mengira sama ada platform tersebut beroperasi di dalam atau di luar negara.
19. Bolehkah kanak-kanak menggunakan akaun media sosial ibu bapa mereka?
Penggunaan akaun dewasa oleh kanak-kanak sememangnya dikenal pasti sebagai satu risiko.
Pemberi perkhidmatan media sosial dijangka melaksanakan langkah yang munasabah dan berkadar bagi mencegah dan mengurangkan penyalahgunaan sedemikian, termasuk pengesanan tingkah laku akaun yang mencurigakan.
BAHAGIAN D: Peranan dan Tanggungjawab
20. Apakah yang perlu dilakukan oleh pemberi perkhidmatan media sosial?
Pemberi perkhidmatan media sosial yang tertakluk kepada keperluan ini mesti melakukan perkara yang berikut:
Melaksanakan langkah pengesahan umur yang berkesan;
Memperkenalkan perlindungan bersesuaian mengikut umur dan ciri keselamatan melalui reka bentuk platform;
Mengambil tindakan sewajarnya terhadap laporan yang melibatkan akaun pengguna di bawah umur 16 tahun serta kandungan memudaratkan; dan
Menyediakan mekanisme pelaporan yang jelas dan mudah diakses bagi kandungan memudaratkan yang menjejaskan pengguna kanak-kanak.
21. Apakah yang akan berlaku sekiranya pemberi perkhidmatan media sosial gagal mematuhi keperluan yang ditetapkan?
Tindakan kawal selia di bawah ONSA, yang boleh mengakibatkan denda selepas sabitan dan/atau penalti kewangan sehingga RM10 juta, boleh diambil terhadap pemberi platform media sosial yang gagal mematuhi keperluan yang ditetapkan di bawah CPC.
Langkah ini memastikan pemberi platform media sosial bertanggungjawab serta mengambil tindakan yang berkesan untuk melaksanakan pengesahan umur, memperkukuh akauntabiliti dan menyediakan pengalaman dalam talian yang lebih selamat untuk kanak-kanak.
22. Adakah ibu bapa atau penjaga kepada pengguna kanak-kanak boleh dikenakan tindakan kerana ketidakpatuhan?
Tidak. Tindakan kawal selia bukan bertujuan untuk dikenakan kepada ibu bapa atau penjaga atas ketidakpatuhan.
Walau bagaimanapun, ibu bapa dan penjaga amat digalakkan untuk memantau dan memberi bimbingan yang sewajarnya terhadap aktiviti dalam talian dan penggunaan digital anak-anak mereka.
23. Apakah peranan yang seharusnya dimainkan oleh ibu bapa dan penjaga?
Ibu bapa dan penjaga memainkan peranan penting dalam membimbing tingkah laku kanak-kanak dalam talian dan menyokong amalan digital yang lebih selamat.
Ini termasuk:
Memantau penggunaan dalam talian;
Menetapkan batas yang bersesuaian;
Menggunakan alat kawalan ibu bapa yang tersedia; dan
Mendidik kanak-kanak mengenai risiko dalam talian dan tingkah laku dalam talian yang bertanggungjawab.
24. Apakah langkah lain yang diambil oleh Kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian kanak-kanak?
Pengesahan umur merupakan sebahagian daripada strategi keselamatan dalam talian yang lebih menyeluruh, yang turut merangkumi:
Peningkatan akauntabiliti pemberi platform media sosial;
Penambahbaikan mekanisme pelaporan dan aduan;
Pelaksanaan program literasi digital dan keselamatan dalam talian di seluruh negara; dan
Kerjasama dengan pihak industri, sekolah, ibu bapa serta komuniti.
Pendekatan ini memastikan keselamatan dalam talian ditangani secara menyeluruh merentas keseluruhan ekosistem.
25. Pemberi platform media sosial manakah yang akan tertakluk kepada langkah sekatan umur di bawah CPC?
Keperluan ini terpakai kepada pemberi perkhidmatan media sosial berlesen yang mempunyai lapan (8) juta pengguna atau lebih di Malaysia.
Ini termasuk platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
26. Adakah terdapat langkah untuk menangani kemungkinan pengguna kanak-kanak beralih ke perkhidmatan media sosial lain yang tidak dikawal selia?
Bagi menangani kemungkinan tersebut, platform media sosial tambahan boleh dimasukkan dalam skop kawal selia dari semasa ke semasa sekiranya perlu.
BAHAGIAN E: KOD PERLINDUNGAN KANAK-KANAK
27. Apakah Kod Perlindungan Kanak-Kanak?
Kod Perlindungan Kanak-Kanak (“CPC”) menetapkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen, di bawah seksyen 18 ONSA, bagi memastikan penggunaan perkhidmatan mereka selamat untuk pengguna kanak-kanak.
Ini termasuk memastikan akses yang bersesuaian mengikut umur serta perlindungan tambahan kepada pengguna kanak-kanak di platform mereka.
28. Mengapakah CPC diperkenalkan?
Kanak-kanak kini semakin kerap dibenarkan menggunakan platform dalam talian, termasuk platform media sosial oleh ibu bapa dan penjaga bagi tujuan komunikasi, pembelajaran dan hiburan.
Namun demikian, memandangkan kanak-kanak masih dalam proses membina kemahiran dan kesedaran untuk menggunakan platform ini dengan selamat, mereka lebih terdedah kepada kandungan memudaratkan seperti eksploitasi kanak-kanak dan buli siber berbanding pengguna dewasa.
Sehubungan itu, CPC selaras dengan seksyen 18 Bahagian III ONSA. CPC mewajibkan pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen berkaitan memastikan penggunaan perkhidmatan mereka selamat digunakan oleh kanak-kanak.
29. Apakah punca kuasa MCMC untuk mengeluarkan CPC?
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (“MCMC”) diberi kuasa di bawah seksyen 80 ONSA untuk mengeluarkan sebarang kod bagi tujuan pematuhan kewajipan di bawah Bahagian III ONSA.
Selaras dengan seksyen 18 di bawah Bahagian III ONSA, CPC menetapkan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan oleh pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen berkaitan bagi memastikan penggunaan perkhidmatan mereka selamat untuk kanak-kanak.
30. Bagaimanakah CPC berkait dengan kewajipan lain di bawah Bahagian III ONSA?
Kandungan CPC bertujuan menyokong dan melengkapi kewajipan lain pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen seperti yang diperuntukkan di bawah Bahagian III ONSA.
Pematuhan terhadap CPC tidak menggantikan atau mengurangkan kewajipan lain di bawah ONSA.
31. Bilakah tarikh kuat kuasa CPC?
Tarikh kuat kuasa CPC ialah pada 1 Jun 2026.
Satu tempoh peralihan akan diberikan bagi membolehkan pelaksanaan, serta penyempurnaan proses pengesahan ke atas pengguna kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dilakukan secara munasabah.
Pemberi perkhidmatan media sosial yang berlesen akan dimaklumkan mengenai garis masa dan keperluan berkaitan proses pengesahan tersebut.
32. Pemberi perkhidmatan dalam talian manakah yang dikehendaki mematuhi CPC?
CPC terpakai kepada pemberi perkhidmatan berlesen yang menggunakan perkhidmatan akses Internet untuk membolehkan komunikasi antara pengguna atau menyediakan kandungan, yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA 1998), termasuk pemberi perkhidmatan media sosial.
33. Siapakah yang dianggap sebagai “pengguna kanak-kanak” di bawah CPC?
“Pengguna kanak-kanak” bermaksud pengguna yang dikenal pasti sebagai kanak-kanak seperti yang ditakrifkan di bawah ONSA.
ONSA mentakrifkan “kanak-kanak” sebagai seseorang yang berumur di bawah 18 tahun.
34. Siapakah yang dianggap sebagai “ibu bapa” di bawah CPC?
Di bawah CPC, “ibu bapa” bermaksud ibu bapa atau penjaga kepada pengguna kanak-kanak.
35. Apakah yang dianggap sebagai “kandungan memudaratkan” di bawah CPC?
“Kandungan memudaratkan” merujuk kepada kategori kandungan yang disenaraikan dalam Jadual Pertama ONSA iaitu:
(a) bahan penganiayaan seksual kanak-kanak;
(b) fraud kewangan;
(c) kandungan lucah;
(d) kandungan sumbang;
(e) kandungan yang boleh menyebabkan gangguan atau ketakutan;
(f) kandungan yang boleh mengapi-apikan keganasan atau terorisme;
(g) kandungan yang boleh mendorong kanak-kanak menyebabkan kemudaratan kepada dirinya;
(h) kandungan yang boleh mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dalam kalangan orang awam; dan
(i) kandungan yang menggalakkan penggunaan atau penjualan dadah berbahaya.
36. Bagaimanakah CPC memanfaatkan kanak-kanak di Malaysia?
Pengguna kanak-kanak boleh menjangkakan pengalaman dalam talian yang lebih selamat apabila pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen dikehendaki menyediakan perlindungan yang dipertingkatkan, khususnya untuk kanak-kanak.
CPC juga menyokong usaha yang lebih menyeluruh di bawah ONSA untuk memperkukuh perlindungan keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan.
37. Adakah MCMC boleh meminda CPC selepas ia dikeluarkan?
Ya. MCMC boleh membatalkan, mengubah, menyemak semula atau meminda keseluruhan atau mana-mana bahagian CPC dari semasa ke semasa, sekiranya perlu.
PENGURUSAN KANDUNGAN
38. Apakah langkah pengurusan kandungan yang perlu dilaksanakan oleh pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen?
Pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen perlu mewujudkan sistem yang jelas dan kukuh untuk mengesan serta menurunkan kandungan memudaratkan daripada diakses oleh kanak-kanak.
Mereka juga perlu:
Menyediakan mekanisme pelaporan yang jelas dan mudah diakses;
Memastikan prosedur pelaporan mudah difahami oleh kanak-kanak;
Mengambil langkah mengelakkan pendedahan berulang kepada kandungan memudaratkan; dan
Memberikan respons segera terhadap permintaan penurunan kandungan daripada MCMC atau agensi penguatkuasaan lain.
39. Adakah pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen diwajibkan untuk memberi respons terhadap permintaan daripada agensi kerajaan untuk menurunkan kandungan memudaratkan?
Pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen mesti memberikan respons secara segera dan berkesan terhadap sebarang permintaan yang dibuat oleh mana-mana agensi penguatkuasaan termasuk MCMC bagi penurunan kandungan memudaratkan yang menjejaskan pengguna kanak-kanak.
40. Adakah pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen dikehendaki memastikan mekanisme pelaporan mudah diakses oleh kanak-kanak?
Ya. Mereka mesti menyediakan mekanisme pelaporan yang jelas dan mudah diakses untuk pengguna kanak-kanak dan ibu bapa mereka.
Selain itu, prosedur pelaporan mestilah mudah diakses dan difahami oleh pengguna kanak-kanak.
41. Apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa sekiranya mereka menemui kandungan memudaratkan yang menjejaskan anak mereka?
Ibu bapa boleh menggunakan mekanisme pelaporan di platform tersebut untuk melaporkan kandungan memudaratkan secara terus kepada pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen.
Ibu bapa juga boleh membuat aduan secara terus kepada MCMC atau agensi penguatkuasaan berkaitan.
42. Apakah kewajipan berkaitan pendedahan berulang kepada kandungan memudaratkan?
Pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen mesti mengambil langkah yang bersesuaian dan berkadar untuk mencegah pendedahan berulang pengguna kanak-kanak kepada kandungan memudaratkan yang telah dilaporkan atau diturunkan daripada platform.
KAWALAN IBU BAPA
43. Apakah ciri kawalan ibu bapa yang perlu disediakan oleh pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen di platform mereka?
Pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen mesti menyediakan ciri-ciri kawalan ibu bapa yang membolehkan ibu bapa memantau dan mengurus aktiviti dalam talian pengguna kanak-kanak, termasuk keupayaan untuk melaraskan tetapan dan had selaras dengan umur, perkembangan dan kapasiti kanak-kanak yang semakin berkembang.
Selain itu, semua perkakasan dan tetapan kawalan ibu bapa mestilah jelas, mesra pengguna dan mudah diakses.
44. Adakah pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen dikehendaki menyemak alat dan tetapan kawalan ibu bapa mereka?
Pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen hendaklah menyemak dan menambah baik perkakasan serta tetapan kawalan ibu bapa jika perlu bagi memastikan ia kekal berkesan dalam melindungi penggunaan perkhidmatan mereka oleh pengguna kanak-kanak.
TETAPAN PRIVASI DAN KESELAMATAN
45. Apakah tetapan lalai (default settings) bagi privasi dan keselamatan untuk pengguna kanak-kanak?
CPC memperuntukkan bahawa tetapan privasi dan keselamatan bagi pengguna kanak-kanak mestilah bersesuaian dengan umur dan/atau ditetapkan pada tahap perlindungan tertinggi secara lalai.
Ini bermakna tetapan privasi dan keselamatan bagi kanak-kanak akan ditetapkan secara automatik pada tahap yang memberikan perlindungan maksimum mengikut umur mereka.
46. Adakah terdapat sekatan terhadap komunikasi langsung antara pengguna dewasa dan pengguna kanak-kanak?
Pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen perlu mengehadkan ciri komunikasi langsung bagi menyekat atau melarang pengguna dewasa yang tidak dikenali atau tidak mempunyai hubungan dengan pengguna kanak-kanak daripada berkomunikasi dengan pengguna kanak-kanak tersebut.
Pengguna kanak-kanak seharusnya dapat menggunakan platform media sosial dengan selamat tanpa risiko interaksi yang tidak diingini daripada pengguna dewasa.
47. Bagaimanakah CPC menangani “ciri reka bentuk manipulatif”?
CPC memperuntukkan pengguna kanak-kanak tidak didedahkan kepada ciri reka bentuk manipulatif yang menggalakkan penggunaan platform media sosial secara kompulsif atau berpanjangan ataupun memanipulasi keputusan pengguna kanak-kanak dalam menggunakan platform.
Ini menangani teknik reka bentuk platform yang boleh mengeksploitasi pertimbangan kanak-kanak yang masih berkembang.
48. Adakah pengguna kanak-kanak boleh mengawal tahap pendedahan maklumat peribadi mereka kepada umum?
Pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen mesti memastikan ketersediaan alat dan tetapan bagi membolehkan pengguna kanak-kanak, dengan bimbingan ibu bapa, mengawal keterlihatan umum maklumat peribadi mereka.
49. Adakah Pemberi Perkhidmatan Berlesen dikehendaki menyemak semula tetapan privasi dan keselamatan mereka?
Pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen dikehendaki menyemak dan mengemas kini tetapan privasi dan keselamatan pada sela masa berasaskan risiko bagi memastikan keberkesanannya secara berterusan dalam melindungi pengguna kanak-kanak.
50. Adakah pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen dikehendaki menyediakan panduan mengenai penggunaan tetapan privasi dan keselamatan?
Pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen mesti menyediakan panduan dan maklumat yang jelas serta mudah diakses mengenai penggunaan tetapan privasi dan keselamatan.
Ini bagi memastikan pengguna kanak-kanak juga dapat memahami dan menggunakan perlindungan yang tersedia di platform secara berkesan.
SISTEM CARIAN DAN SARANAN KANDUNGAN
51. Apakah tetapan lalai (default setting) bagi sistem carian dan saranan kandungan untuk pengguna kanak-kanak?
Pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen mesti memastikan tetapan lalai untuk sistem carian dan saranan adalah bersesuaian untuk pengguna kanak-kanak.
52. Apakah yang boleh dijangkakan oleh pengguna kanak-kanak daripada sistem saranan kandungan yang disesuaikan untuk mereka?
Pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen perlu memastikan sistem saranan kandungan direka dan dikendalikan supaya tidak mendedahkan pengguna kanak-kanak kepada kandungan memudaratkan.
Mereka juga perlu menyediakan pilihan yang jelas dan mudah diakses kepada pengguna kanak-kanak serta ibu bapa untuk mengurus tetapan sistem saranan kandungan tersebut.
53. Apakah yang boleh dijangkakan oleh pengguna kanak-kanak daripada cara algoritma platform mempromosi atau memaparkan kandungan?
Pemberi perkhidmatan dalam talian yang berlesen mesti memastikan reka bentuk dan operasi algoritma yang digunakan dalam sistem carian dan saranan kandungan yang disesuaikan tidak memaparkan, mempromosi atau mencadangkan kandungan memudaratkan kepada pengguna kanak-kanak.
Ini merangkumi kedua-dua paparan kandungan dalam hasil carian dan promosi kandungan melalui suapan saranan.