SPRM giat siasat dan sita aset-aset luar biasa keluarga Daim bernilai RM3 bilion

July 11, 2025 · Isu semasa

Dianggarkan aset-aset luar biasa bernilai RM3 bilion berkaitan Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan isteri, Toh Puan Na’imah Khalid menjadi sasaran
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bahagian Operasi Khas (BOK) dibawah SPRM sedang giat melaksanakan tindakan siasatan dan penguatkuasaan memfokuskan kepada penyitaan dan pelucuthakan aset-aset dimiliki keluarga Daim tersebut.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, pemilikan aset-aset luar biasa bernilai tinggi itu dikesan di 11 buah negara iaitu United Kingdom (UK): Amerika Syarikat; Switzerland; Singapura; British Virgin Islands; Kepulauan Cayman; Jersey; Itali; Jepun; Indonesia dan beberapa negara di benua Afrika.

Aset-aset itu dikenal pasti berdasarkan maklumat siasatan terkini hasil kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa di UK iaitu National Crime Agency (NCA) dan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC).

SPRM telah memperoleh Perintah Halangan (Restraining Order) di bawah Seksyen 53, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Jun 2025 terhadap tujuh tujuh aset tak alih dan alih yang terletak di UK yang dianggarkan bernilai RM758 juta.

“Permohonan Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance – MLA) kepada pihak berkuasa United Kingdom sedang diproses menerusi Pejabat Peguam Negara, manakala perbincangan lanjut bersama IACCC sedang diselaraskan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara teratur dan berkesan,” kata kenyataan hari ini.

Tambahnya, permohonan perintah halangan terhadap aset di Singapura dan Jersey juga telah difailkan melalui Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu dengan pendengaran permohonan berlangsung pada 23 dan 25 Jun lalu.

Antara aset yang terlibat di Jersey melibatkan empat akaun bank dan pelaburan bernilai RM1.15 bilion dan di Singapura membabitkan 12 akaun bank dan pelaburan bernilai RM540 juta.

Selain itu permohonan maklumat lanjut berkaitan aset di negara-negara seperti AS; Switzerland; British Virgin Islands; Kepulauan Cayman; Itali dan Jepun sedang dikemukakan menerusi kerjasama dengan Bank Negara Malaysia, IACCC dan permohonan MLA melalui Pejabat Peguam Negara.

Katanya, ia bagi membolehkan tindakan lanjut penyitaan dan pelucuthakan aset dilaksanakan secara sah dan menyeluruh.

“Di peringkat domestik, SPRM telah memperoleh perintah penyitaan terhadap Menara Ilham pada 4 Jun 2025 dan tindakan sitaan dilaksanakan pada 5 Jun 2025.

“Permohonan pelucuthakan tanpa pendakwaan di bawah Seksyen 56, AMLATFPUAA 2001 telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Jun 2025,” katanya.

Tambahnya, SPRM juga telah merakamkan keterangan Na’imah dan anak beliau, Muhammed Amir Zainuddin pada 14 Jun lalu berkaitan pemilikan aset-aset luar biasa yang tidak diisytiharkan.

Keterangan juga akan dirakam daripada anak kedua mereka, Muhammed Amin Zainuddin yang kini berada di UK.

“Ketiga-tiga individu ini merupakan pemegang saham utama Ilham Baru Sdn Bhd, syarikat yang memiliki majoriti saham dalam Ilham Tower Sdn Bhd dan dikenal pasti sebagai pemilik manfaat (beneficial owner) kepada Menara Ilham,” katanya.

Ujarnya, selaras dengan Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009, Notis Pengisytiharan Harta diserahkan bermula semalam kepada seramai 22 individu yang dikenal pasti sebagai saudara dan sekutu rapat kepada Daim dan Na’imah bagi tujuan pengesanan dan pengesahan pemilikan aset.

“SPRM menegaskan bahawa tindakan-tindakan ini merupakan sebahagian daripada fungsi dan peranan suruhanjaya untuk memastikan tiada unsur amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengurusan kekayaan negara.

“SPRM komited untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berlandaskan undang-undang, tanpa sebarang campur tangan atau kepentingan politik,” katanya.

Berita berkaitan
SPRM sita aset RM9.7 juta dalam siasatan pelaburan RM300 juta
6 jam lalu· Isu semasa
Sultan Pahang tegur salah guna kuasa di sebalik baju seragam dan institusi
January 24, 2026· Isu semasa
SPRM buka dua kertas siasatan berhubung isu dana hampir RM300 juta: Laporan
January 24, 2026· Isu semasa
PM gesa tolak amalan kartel, lindungi kepentingan rakyat
January 24, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Guru rugi RM325,000 diperdaya sindiket menyamar pegawai AMLA
6 jam lalu · Isu semasa
Guan Eng desak Sosma dimansuh susulan penahanan remaja 16 tahun
6 jam lalu · Isu semasa
Agong berangkat ke Russia untuk lawatan khas: Laporan
6 jam lalu · Isu semasa
Akses lebih adil kepada pelajar pelbagai aliran masuk ke universiti awam: Loke
January 24, 2026 · Isu semasa
Anwar nafi isu tanah Malaysia diserah kepada Indonesia
January 24, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Ekonomi negara catat pertumbuhan kukuh, ringgit dan bursa meningkat
January 20, 2026
[VIDEO] Kalau ada tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia: Agong
January 19, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok