Suruhanjaya TVET bakal ditubuhkan, cadang naik gaji permulaan RM3,000

June 12, 2025 · Isu semasa

Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan agenda transformasi TVET yang sedang giat dilaksanakan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata cadangan itu dikemukakan susulan pencapaian memberangsangkan pembangunan TVET di bawah Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, termasuk peningkatan jumlah pelajar yang menyertai program berkenaan.

“Saya menghargai peranan Majlis TVET, namun sebagai pihak yang turut memantau secara langsung perkembangan semasa, terdapat cadangan yang wajar dipertimbangkan, termasuk menjadikan TVET sebagai sebuah suruhanjaya. Kita akan lihat sejauh mana cadangan ini boleh dilaksanakan dalam masa terdekat berdasarkan perubahan yang sedang berlaku.

“Bayangkan jumlah pelajar dan jenis latihan yang semakin bertambah. Saya dan Kementerian Kewangan akan meneliti keperluan agar kemudahan TVET diberikan keutamaan, sama ada dari segi kelengkapan mesin, bentuk latihan, kepakaran, dan bagaimana sinergi antara syarikat berkaitan kerajaan serta sektor swasta dapat diperkukuh bersama institusi TVET sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.

Turut hadir Ahmad Zahid, Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Anwar berkata TVET merupakan agenda pembangunan negara yang penting dalam melahirkan tenaga kerja terlatih, berkualiti dan memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa lulusan TVET wajar menerima gaji permulaan yang lebih baik, selaras dengan kemahiran yang mereka miliki.

“Dulu kita tetapkan gaji minimum RM1,700, tetapi kalau ada bidang pekerjaan TVET yang mencatat kebolehpasaran hingga 98 peratus, gaji sebanyak itu dilihat tidak mencukupi. Justeru, kita mahu menaikkan kadar gaji permulaan kepada RM3,000, sekiranya boleh.

“Langkah ini penting supaya kepakaran yang dimiliki lulusan TVET dihargai dan diterima syarikat-syarikat multinasional serta tempatan,” katanya.

Pada majlis sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM40 juta kepada Majlis TVET Negara dan RM10 juta kepada kerajaan Melaka, khusus bagi memperkasa pembangunan keusahawanan TVET.

“Anak-anak perlu memanfaatkan peluang ini untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Jika kita lihat negara jiran atau negara membangun lain, tidak banyak yang mampu melaksanakan perubahan dengan begitu pantas dalam mengangkat kedudukan TVET sebagaimana dilakukan Malaysia.

“Kalau anak-anak beritahu ibu bapa, inilah Malaysia, satu-satunya negara yang memberi dukungan serta peruntukan bukan sahaja kepada pelajar TVET, tetapi juga kepada anak-anak huffaz,” katanya.

Sambutan Hari TVET Negara 2025 bertemakan ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’ menampilkan sembilan konsep pameran mengikut sektor utama iaitu: Pengangkutan dan Automotif; Aeroangkasa; Elektronik dan Digital; Pembuatan Termaju; Tenaga; Rel dan Maritim; Perladangan, Pertanian dan Penternakan; Pembinaan; serta Perkhidmatan.

Acara selama tiga hari yang bermula semalam dan berakhir esok itu menawarkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang menerusi penyertaan lebih 60 syarikat dan majikan dari dalam dan luar Melaka.

Sebanyak 12 kementerian terlibat dalam penganjuran sambutan tersebut termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Hari TVET Negara, yang disambut pada 2 Jun setiap tahun, merupakan manifestasi komitmen dan iltizam kerajaan untuk menjadikan bidang itu sebagai platform utama dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang dinamik, berkemahiran serta berdaya saing.

Dialog Dasar Serantau Majlis TVET ASEAN ke-4 (ATC 4th RPD) selama dua hari bermula semalam turut diadakan bersempena sambutan Hari TVET Negara 2025. – Bernama

Berita berkaitan
Himpunan rumah ibadat cetus kontroversi, AMK Johor pertahan Anwar
6 jam lalu· Politik
Ternakan babi dibenar jika jauh dari kawasan penduduk: Anwar
9 jam lalu· Isu semasa
Pembinaan rumah ibadat perlu patuh undang-undang: PMX
9 jam lalu· Isu semasa
Kebebasan bersuara ada had, jangan sampai timbul kegusaran: Fahmi
February 8, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Rizab BNM cecah AS$126.9 bilion
3 jam lalu · Isu semasa
Pelan baharu tangani kos sara hidup dilancar tahun ini: Armizan
3 jam lalu · Isu semasa
Pelabur asing terus beli saham tempatan, aliran masuk cecah RM15 juta
6 jam lalu · Isu semasa
Adam pertahan sekatan perjalanan peminjam PTPTN
6 jam lalu · Isu semasa
Ringgit kekal stabil sekitar paras RM3.94 berbanding dolar: Bernama
8 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
Kerajaan tegas pantau kandungan AI berbahaya: Nie Ching
January 28, 2026
[VIDEO] Menteri Pertahanan beri penjelasan isu rasuah ATM di Parlimen
January 28, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok