Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Kredit gambar: PMO
Reformasi menyeluruh merangkumi subsidi, percukaian, struktur fiskal dan sistem penjagaan kesihatan tidak boleh dielakkan dan kerajaan perlu melaksanakan untuk menyelamatkan ekonomi negara.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata reformasi dalam struktur ekonomi negara sangat penting dan merupakan keperluan nasional demi memastikan kelangsungan masa depan negara yang lebih mampan.
“Reformasi bukanlah satu kemewahan, ia adalah satu keperluan nasional. Kita tiada pilihan selain melaksanakannya untuk menyelamatkan ekonomi negara,” katanya menyampaikan ucaptama pada Simposium Sasana 2025 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.
Tegas Anwar yang juga Menteri Kewangan lagi, reformasi yang dilaksanakan mungkin tidak popular, bagaimanapun subsidi tidak wajar terus dinikmati oleh golongan kaya dan warga asing, sedangkan golongan rentan terus terbeban.
“Subsidi tidak salah jika disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Tetapi subsidi untuk orang kaya dan warga asing yang tidak membayar cukai? Itu tidak adil dan membebankan fiskal negara,” katanya.
Anwar berkata, reformasi yang dilaksanakan mungkin tidak popular, namun ia penting untuk meletakkan asas ekonomi yang lebih mampan dan inklusif.
Katanya, institusi kewangan seperti BNM dan sektor perbankan harus memainkan peranan bukan hanya dalam soal kewangan, tetapi juga dalam memberi pemahaman kepada masyarakat.
“Kita perlukan kerjasama daripada institusi-institusi untuk bukan sahaja menyokong reformasi fiskal, tetapi juga memberi penerangan dan mendidik rakyat tentang keperluannya,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyentuh cabaran kesihatan awam yang semakin mendesak, terutama dari segi kos penjagaan kesihatan swasta yang melonjak dan akses yang semakin terbatas bagi rakyat biasa.
Beliau menyifatkan masalah itu sebagai isu nasional yang memerlukan tindakan segera.
“Ini bukan hanya isu ekonomi. Ini isu kesejahteraan nasional. Ramai rakyat tidak mampu mendapatkan rawatan kesihatan kerana kos yang tinggi,” katanya.
Sebagai langkah awal, beliau berkata, kerajaan akan menubuhkan satu Jawatankuasa Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan untuk mencari penyelesaian tuntas bagi menjadikan rawatan kesihatan lebih mampu milik.
“Kita tidak bercakap tentang perubahan kecil, tetapi perubahan asas. Kita perlu beralih kepada sistem penjagaan kesihatan swasta berasaskan nilai yang mengutamakan keputusan klinikal, ketelusan dan keadilan,” katanya.
Antara pembaharuan yang dicadangkan termasuk penetapan harga yang lebih jelas, penggunaan teknologi kesihatan digital, serta insurans kesihatan asas mampu milik untuk rakyat marhaen.
Dalam nada berseloroh tetapi serius, Anwar turut berkongsi pengalamannya mendapatkan rawatan di hospital kerajaan yang menunjukkan keperluan memperkukuh sistem awam agar lebih cekap dan tidak bergantung kepada pembelian kelengkapan mahal yang tidak digunakan secara optimum.
“Terdapat katil dibeli dengan harga ratusan ribu ringgit tetapi tidak digunakan dengan sebaiknya. Ini mencerminkan pembaziran yang perlu dielakkan,” katanya.
Perdana Menteri juga menekankan perlunya integriti institusi kerajaan diperhebat termasuk memastikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan penguatkuasaan undang-undang dalam semua agensi kerajaan dan sektor swasta.
“Kita tidak boleh bercakap tentang reformasi jika rasuah dan pembaziran terus berleluasa. Kita mesti bina sistem yang telus dan bertanggungjawab,” katanya.
Dalam menghadapi ketidaktentuan global dan dasar perdagangan unilateral, Anwar berkata, Malaysia tetap berada pada landasan kukuh dengan asas ekonomi yang sihat serta komitmen kepada integrasi ekonomi serantau menerusi ASEAN dan kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS), China dan Kesatuan Eropah.
“Ketahanan domestik dan serantau amat penting. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada satu kuasa besar,” ujarnya.
Berhubung teknologi, beliau mengumumkan pelancaran Digital Asset Innovation Hub yang bertujuan untuk mempercepat penggunaan teknologi kewangan seperti mata wang digital dan pembayaran boleh atur, sambil mengekalkan kawalan berhemat oleh pihak berkuasa.
“Kita perlu seimbangkan antara inovasi dan pematuhan risiko. Ini bukan mudah, tetapi penting untuk ekonomi masa depan,” katanya.
Anwar turut menyeru semua pihak, termasuk media dan masyarakat sivil, untuk bersama-sama menjayakan agenda reformasi demi Malaysia yang lebih saksama, berdaya tahan dan inklusif.
“Jangan kita hanya tunggu laut yang tenang. Belajarlah untuk belayar dalam badai dengan lebih cekap,” katanya sambil mengingatkan bahawa reformasi ini adalah perjuangan untuk generasi akan datang.
Saifuddin: Polis buka kertas siasatan, dakwaan Ismail dipaksa jadi perhatian
DKU: Tuanku Muhriz kekal bertakhta, proklamasi penurunan tak sah
FGV lantik firma audit bebas, semak isu tadbir urus
Saifuddin mahu elaun RELA RM8 disemak segera
Lawatan sulung PMX ke Maldives beri momentum baharu hubungan dua hala: Bernama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum