Azalina Othman Said.
Tindakan susulan terhadap teguran audit berjaya menyumbang RM920.91 juta kepada kutipan hasil dan bayaran balik kepada kerajaan sehingga 28 September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata, jumlah itu membuktikan proses audit mampu menghasilkan pemulihan wang awam apabila teguran disusuli tindakan.
Menurutnya, keberkesanan audit tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah kelemahan yang dikenal pasti, sebaliknya melalui tindakan pembetulan yang dilaksanakan serta pemantauan terhadap penyelesaiannya.
“Mesej saya kepada semua kementerian, jabatan dan agensi adalah jelas, iaitu jangan melihat teguran audit sebagai serangan.
“Lihatlah ia sebagai peluang untuk membetulkan kelemahan, memperbaiki sistem dan melindungi wang rakyat,” katanya ketika membentangkan usul mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
LKAN 2/2026 yang dibentangkan Isnin lalu meliputi Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025, aktiviti kementerian dan jabatan kerajaan Persekutuan, penyata kewangan kerajaan negeri serta agensi negeri.
Laporan itu turut melibatkan aktiviti kementerian, jabatan dan agensi negeri serta pengurusan syarikat kerajaan negeri.
Azalina berkata, kerajaan melihat fungsi audit dan LKAN sebagai sebahagian penting dalam rantaian akauntabiliti negara.
Katanya, pengauditan menjadi mekanisme untuk menilai sama ada wang awam dibelanjakan secara teratur, berhemat serta mencapai objektif ditetapkan.
Bagaimanapun, beliau berkata usaha memperkukuh akauntabiliti tidak sepatutnya bermula selepas sesuatu kelemahan berlaku.
“Kerajaan turut membangunkan kerangka reformasi institusi yang memberi penekanan kepada aspek pencegahan, ketelusan dan akauntabiliti sejak dari awal,” katanya.
Menurut Azalina, beberapa inisiatif turut diperkenalkan bagi memperkukuh sistem pentadbiran, termasuk kebebasan maklumat, reformasi pendanaan politik dan penubuhan Ombudsman Malaysia.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memperluas akses kepada maklumat, meningkatkan ketelusan pembiayaan politik serta memperkukuh mekanisme semak dan imbang terhadap pentadbiran awam.
“LKAN membantu kita melihat dan memperbetulkan apa yang sudah berlaku, manakala reformasi institusi yang sedang kita laksanakan bertujuan membina sistem yang dapat mencegah kelemahan sebelum ia berlaku.
“Kedua-duanya saling melengkapi. Matlamat akhirnya adalah sama, iaitu kerajaan yang lebih telus, institusi yang lebih bertanggungjawab dan sistem yang lebih dipercayai rakyat,” katanya.
Ini merupakan kali kelapan LKAN dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat sejak 2023 di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Sebelum ini, laporan berkenaan dibentangkan untuk perhatian Ahli Parlimen sebelum dirujuk kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
RM2.3 bilion untuk selenggara kuarters penjawat awam, pencen terendah dinaikkan
RCI Tabung Haji bukti politik perlu berasaskan fakta
BDR jimat hampir RM6 juta subsidi petrol
AMK Melaka desak penjelasan Ketua Menteri berhubung isu bubar DUN
Isu saham Azam Baki timbul lagi susulan laporan Bloomberg
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 17 Nov – Ismail letak jawatan, kerajaan Madani stabil dan lawatan Macron