Telekesihatan, E-perubatan bakal dilaksana di Sabah, Sarawak hujung tahun ini: Laporan

July 30, 2025 · Isu semasa

Perkhidmatan teleperubatan dan e-kesihatan dijangka mula beroperasi di beberapa lokasi terpilih di Sabah dan Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar menjelang hujung tahun ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi bersama Kementerian Kesihatan (KKM) sedang merangka pelaksanaan penghantaran ubat-ubatan menggunakan teknologi dron dari klinik kesihatan luar bandar ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terdekat, bagi memudahkan penduduk mendapatkan akses kepada perkhidmatan saringan dan rawatan asas.

Fahmi berkata ketika ini sebanyak 1,099 NADI beroperasi di seluruh negara, dengan Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 156 pusat diikuti Sabah dengan 131 pusat.

“Daripada jumlah tersebut, 700 NADI terletak di kawasan luar bandar menjadikannya infrastruktur itu asas penting bagi peluasan perkhidmatan teleperubatan dan e-kesihatan.

“Dengan inisiatif ini, sesi konsultasi kesihatan dapat dilakukan secara dalam talian melalui panggilan video,” katanya kepada media selepas majlis perhimpunan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi berkata inisiatif berkenaan kini dalam fasa perbincangan melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menguruskan NADI dan klinik kesihatan di bawah KKM serta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang bakal bergabung Ogos ini.

“Saya melihat inisiatif ini berpotensi besar membantu mengurangkan kos perlu ditanggung rakyat terutama di luar bandar bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan, perubatan dan saringan kesihatan asas tanpa perlu ke pekan bandar atau klinik kesihatan. Kita akan memulakan pelaksanaan ini di beberapa lokasi terpilih,” katanya.

Sebelum ini, Fahmi berkata penggunaan dron telah diperkenalkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan ke Tawau dan juga ditampilkan dalam beberapa demonstrasi baru-baru ini.

“Saya percaya potensinya sangat besar, khususnya di Sabah dan Sarawak kerana sebahagian besar NADI di kedua-dua negeri ini berada di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata daripada segi pelaksanaan, inisiatif itu memerlukan kelulusan bagi laluan udara, serta latihan kepada pengurus NADI bagi memastikan mereka bersedia melaksanakannya dengan berkesan agar pesakit mudah mendapatkan perkhidmatan.

“Beberapa perkara masih dalam proses susulan. Saya menjangkakan bahawa siri perbincangan ini akan selesai dalam beberapa bulan akan datang. Harapan kita adalah untuk memulakan pelaksanaan sekurang-kurangnya di beberapa lokasi di Sabah dan Sarawak sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Fahmi berkata NADI bukan sahaja menyediakan capaian Internet tetapi berperanan sebagai platform kemudahan komuniti serta menjana keterlibatan masyarakat dalam pembangunan ekonomi digital dan ekonomi kreatif.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada MCMC dan KKM atas kejayaan program bersama di NADI Kampung Langkuas, Papar, Sabah baru-baru ini, yang membuktikan Internet berkelajuan tinggi membuka ruang kepada perkhidmatan kesihatan moden.

Fahmi berkata sebagai contoh, Kampung Sim Sim di Sandakan dan Felda Soeharto, Kuala Kubu Bahru, Hulu Selangor mencatat kelajuan Internet mencapai satu gigabit per saat (Gbps) sekali gus membolehkan perkhidmatan teleperubatan dan e-kesihatan beroperasi dengan lancar. – Bernama

Berita berkaitan
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
1 jam lalu· Isu semasa
Judi, scam: Facebook paling banyak diminta turunkan kandungan
August 18, 2026· Isu semasa
MCMC, Imigresen perkukuh kerjasama banteras jenayah rentas sempadan
August 18, 2026· Isu semasa
TH perlu perkukuh komunikasi, dekati pendeposit: Bernama
August 17, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
1 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan mula kaji sistem cukai hybrid SST-GST: Fahmi
4 jam lalu · Isu semasa
AUKU akan dimansuhkan, pentadbiran universiti diberi nafas baharu: Fahmi
4 jam lalu · Isu semasa
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
6 jam lalu · Isu semasa
Bekas CEO bank hadap pertuduhan tipu pelaburan RM139.8 juta
6 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok