Tuan Ibrahim Tuan Man.
PAS mempertikaikan dakwaan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan parti itu mempunyai “DNA pengkhianat”, sebaliknya menegaskan UMNO sendiri yang lebih dahulu mengkhianati kerjasama politik ketika bersama Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata masih tertanya-tanya bentuk pengkhianatan yang sering dikaitkan dengan PAS sedangkan beberapa episod politik lalu menunjukkan UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan yang dibentuk bersama PN.
“Saya pun nak tahu apa pengkhianatan yang sering diulang itu. Sepanjang pembentukan kerajaan lalu, kita dapati UMNO yang khianat,” katanya kepada media ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid.
Menurut beliau, tindakan UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan di Johor, Melaka dan Perak menjadi antara bukti kerjasama politik yang dibina sebelum ini tidak dipertahankan.
Beliau turut membangkitkan tindakan beberapa pemimpin UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin sehingga berlaku pertukaran Perdana Menteri kepada Ismail Sabri Yaakob.
“Siapa yang khianat sehingga tarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri?” soalnya.
Ketegangan antara PAS dan UMNO kembali menjadi perhatian selepas hubungan kedua-dua parti yang pernah bekerjasama menerusi Muafakat Nasional dan kerajaan PN semakin renggang sejak Pilihan Raya Umum ke-15.
UMNO kini bersama Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim, manakala PAS kekal bersama Perikatan Nasional (PN) sebagai blok pembangkang utama.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang terus mengingatkan kepentingan penyatuan umat Islam dan Melayu demi masa depan negara.
“Presiden ingatkan keperluan umat ini bersatu kerana melihat kepentingan bangsa pada masa hadapan. Bagaimanapun terpulang kepada semua pihak. Kami sedia kalau nak berkawan dan lebih bersedia kalau hendak berlawan,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan menegaskan UMNO tidak akan kembali bekerjasama dengan PAS selagi parti itu tidak mengubah sikap yang didakwa sebagai pengkhianatan politik.
DAP sokong cadangan bubar DUN Negeri Sembilan
Rafizi berisiko kalah kerusi Pandan sama seperti di Gombak: AMK Pulau Pinang
AMK desak wakil rakyat PKR jelaskan kehadiran semasa program Rafizi
Tengku Zafrul diberi peranan baharu jaga kerusi Parlimen Pandan: Amiruddin
Anwar diharap terus kekal di Tambun: PKR Perak
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi