Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
UMNO bersedia mempertimbangkan permohonan penyertaan wakil rakyat dan pemimpin Bersatu yang dipecat atau digantung daripada parti itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu mengamalkan pendekatan terbuka khususnya bagi memperkukuh sokongan orang Melayu dalam landskap politik semasa.
“Kalau ada permohonan, kita akan pertimbangkan. Kita terbuka kerana sebagai parti politik yang menaungi Rumah Bangsa, kita mempunyai dasar yang terbuka,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program MARA Prihatin Peringkat Kebangsaan 2026 di Bagan Datuk, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki yang sebelum ini mengalu-alukan kemasukan ahli dan pemimpin Bersatu yang dikenakan tindakan disiplin untuk menyertai parti tersebut.
Semalam, Bersatu mengumumkan pemecatan dan penggantungan beberapa wakil rakyat serta pemimpin parti berkuat kuasa serta-merta selepas keputusan Lembaga Disiplinnya.
Antara yang dipecat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani, ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis serta Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat, Muhammad Faiz Rahmad.
Lima Ahli Parlimen turut digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan parti, termasuk Ikmal Hisham Abdul Aziz, Abdul Khalib Abdullah, Nordin Ahmad Ismail dan Rosol Wahid.
Perkembangan itu dilihat menambah tekanan terhadap Bersatu yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdepan pergolakan dalaman serta isu kesetiaan dalam kalangan wakil rakyatnya.
Pada masa sama, UMNO dilihat cuba memperkukuh pengaruh menerusi pendekatan lebih inklusif melalui gagasan Rumah Bangsa menjelang landskap politik baharu negara.
Pasukan khas pantau isu 3R menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
Hakim sifatkan skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terburuk dunia
Fahmi nasihat Ketua Pengarah J-Kom agar berhati-hati di media sosial
Dikritik ‘katak’ politik, Zaid sasar kembali bertanding PRU atas tiket PAS
PRN Johor: Anwar gesa pengundi pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya