Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.
Cadangan menggubal Akta Pendanaan Politik masih di peringkat perbincangan dan belum dibawa secara rasmi kepada semua parti politik untuk mendapatkan pendirian muktamad, kata Azalina Othman Said.
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi itu berkata proses mendapatkan maklum balas daripada parti-parti politik masih berjalan, namun setakat ini UMNO tidak menunjukkan sebarang bantahan terhadap cadangan penggubalan akta berkenaan.
“Saya selalu buat kerja undang-undang untuk parti. Setakat ini tidak ada bantahan daripada UMNO,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Townhall Kerangka Akauntabiliti Madani 2026 di Akademi Perundangan Negara (APN) hari ini.
Azalina bagaimanapun menjelaskan pendirian rasmi setiap parti belum diperoleh kerana rundingan formal masih belum dilakukan.
“Kita belum bawa secara formal kerana setiap parti perlu buat rujukan dalaman sebelum memberikan pendirian rasmi mereka,” katanya.
Beliau turut mengakui terdapat beberapa parti politik yang masih belum bersetuju dengan cadangan tersebut, namun enggan mendedahkan identiti parti terbabit.
Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik sebelum ini dibincangkan sebagai langkah memperkukuh ketelusan dan integriti sistem politik negara, terutama melibatkan sumber kewangan parti politik dan sumbangan penderma.
UMNO antara parti yang sebelum ini secara terbuka menyatakan sokongan supaya akta berkenaan disegerakan.
Parti itu berpandangan undang-undang khusus berkaitan pendanaan politik mampu mewujudkan sistem politik yang lebih matang, adil dan telus.
Melalui akta itu, setiap sumbangan kewangan kepada parti politik dicadangkan direkodkan secara jelas, termasuk pendedahan identiti penderma bagi mengelakkan salah guna dana dan unsur rasuah.
Isu pendanaan politik kembali menjadi perhatian selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mencadangkan beberapa undang-undang baharu diperkenalkan bagi mengekang rasuah berskala besar dan konflik kepentingan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata antara akta yang dicadangkan termasuk undang-undang berkaitan salah laku dalam jawatan awam, kebajikan dan pendanaan politik bagi memastikan kutipan dana oleh parti politik atau pertubuhan dapat dipantau dengan lebih berkesan.
Bersatu jawab kritikan PAS, tegaskan semua isu patut dibincang dalam gabungan
DAP sokong cadangan bubar DUN Negeri Sembilan
Rafizi berisiko kalah kerusi Pandan sama seperti di Gombak: AMK Pulau Pinang
AMK desak wakil rakyat PKR jelaskan kehadiran semasa program Rafizi
Tengku Zafrul diberi peranan baharu jaga kerusi Parlimen Pandan: Amiruddin
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi