Mujahid Yusof Rawa.
Timbalan Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa menegaskan syurga bukan ditentukan melalui undi kepada mana-mana parti politik, sebaliknya hanya Allah SWT berkuasa menentukan seseorang mendapat rahmat dan keampunan-Nya.
Beliau berkata, dakwaan mengaitkan undi PAS dengan jaminan masuk syurga tidak mempunyai asas dari sudut ilmu agama mahupun realiti.
“Masuk syurga bukan kerana undi parti politik. Masuk syurga adalah kerana Allah izinkan atas rahmat-Nya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mujahid berkata, umat Islam sepatutnya berlumba-lumba mencari rahmat Allah, bukan menyempitkan konsep rahmat Ilahi dengan sokongan kepada sesebuah parti politik.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang sebelum ini mengulas ungkapan “undi PAS masuk syurga” dalam konteks sokongan politik kepada parti berkenaan.
Menurut Mujahid, dakwaan sedemikian menimbulkan persoalan mengenai penggunaan agama dalam persaingan politik, terutama apabila sokongan kepada parti dikaitkan dengan ganjaran akhirat.
“Bagaimana sikap PAS yang memfitnah dan berbohong demi kuasa dapat mengundang rahmat-Nya untuk mendapat syurga?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan pendekatan PAS terhadap pihak yang berbeza pandangan politik, termasuk dakwaan berkaitan takfir dan pelabelan terhadap individu yang tidak menyokong parti itu.
Mujahid menyifatkan dakwaan “undi PAS masuk syurga” sebagai sesuatu yang tidak berasas dan menganggapnya sebagai usaha “menjual syurga untuk politik”.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan sewajarnya jika kenyataan berkenaan dianggap menghina agama.
“Usahlah mempertahankan kepalsuan. Jika benar Setiausaha Agung PAS tidak bermaksud demikian, beliau harus memohon maaf kepada ahli PAS dan seluruh umat Islam,” katanya.
Zahid tak akan benar usul gugat MB Negeri Sembilan
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
PN sasar lebih empat kerusi di Melaka hasil rundingan dengan UMNO: Tuan Ibrahim
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum