Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Keputusan pelantikan badan kehakiman atau keputusan yang dibuat oleh mahkamah dibuat secara bebas dan mengikut prosedur yang termaktub mengikut Perlembagaan Persekutuan, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjelaskan urusan penyambungan kontrak hakim atau penjawat awam bukan kuasa mutlak beliau dan tidak wajar dipengaruhi oleh kempen atau tekanan mana-mana pihak.
“Penjawat awam atau hakim, mana-mana pegawai yang tempoh persaraannya, ia ada prosedur. Apabila kita bersara tidak sambung automatik dan dalam keadaan ini saya ditegur, maksudnya (seperti) ada satu kempen (kata) mesti sambung (pelantikan) ini, jangan sambung (pelantikan) ini.
“Maksudnya, institusi yang sepatutnya ada integriti dan bebas itu sudah dipolitikkan dan apa yang berlaku, ialah prosesnya, malah ada yang mengatakan Ini kuasa mutlak Perdana Menteri. …tidak dan kalau saudara faham Perlembagaan, sudah (tentu) tahu prosesnya,” katanya semasa menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Anwar menegaskan setiap pelantikan atau penyambungan perlu melalui prosedur serta proses dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong serta perbincangan di peringkat Majlis Raja-Raja.
“Jadi jangan kita main tuduh Perdana Menteri sewenang-wenangnya. Ini proses yang tertib dan termaktub dalam Perlembagaan.
“Malah, saya elakkan daripada berjumpa mana-mana hakim kanan, kecuali Ketua Hakim Negara, itu pun untuk perbincangan rasmi. Hubungan saya dengan institusi kehakiman selama ini baik dan profesional,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan, sebarang keputusan badan kehakiman adalah hak mutlak institusi berkenaan dan beliau tidak pernah mempengaruhi sebarang keputusan.
Mengulas mengenai kes berprofil tinggi, Perdana Menteri turut menegaskan kerajaan tidak pernah mencampuri dalam keputusan yang diputuskan mahkamah.
“Kalau Datuk Seri Najib (Razak) …minta maaf saya sebut, itu dapat DNAA (melepas tanpa membebaskan), (dakwa) itu Perdana Menteri campur tangan dan (berbuat) khianat.
“Kemudian (keputusan kes, Ahli Parlimen Muar) Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) yang dilepas dan dibebaskan, pun dari satu pihak (dakwa Perdana Menteri) salah juga. Kalau tak dapat DNAA, pun (kata Perdana Menteri) salah juga. Saya kata bukan urusan saya.
“Soal saya setuju atau tidak? Pendapat peribadi saya itu bukan isu. Kita kena hormat hakim, keputusan yang dibuat kalau itu yang berlaku,” katanya.
PAS dicabar tarik balik Amanat Hadi, ramai orang UMNO masih tersinggung
Pelantikan Ketua Audit Negara perlu bebas campur tangan politik: Syahredzan
PAS-UMNO makin terbuka, hantar wakil hadir ke PAU
Guan Eng mahu Zahid dikenakan tindakan isu lebihan belanja di KKDW
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum