Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Jeram Padang, Manivanan Gowin mendakwa sokongan terhadap beliau semakin meningkat apabila kempen Pilihan Raya Negeri memasuki hari keenam, termasuk dalam kalangan pengundi yang sebelum ini disifatkan sebagai pengundi atas pagar.
Menurutnya, perkembangan itu dapat dilihat hasil siri program dan pertemuan bersama penduduk yang telah diadakan sejak lebih dua bulan lalu, dengan peningkatan sokongan menjadi lebih ketara sepanjang tempoh rasmi berkempen.
“Hari ini sudah masuk hari keenam dan saya mendapati sokongan semakin meningkat. Ada kawasan yang kita sudah masuk beberapa kali dan kita dapati pengundi yang sebelum ini mungkin atas pagar kini mula mendekati kami serta mengikuti program-program yang dianjurkan.
“Dalam masa enam hari ini perkembangan itu agak ketara berbanding sebelum ini. Walaupun kami telah mula bekerja lebih dua bulan lalu, sokongan terhadap kami kini meningkat secara drastik,” katanya.
Beliau turut mendakwa maklum balas yang diterima di lapangan menunjukkan pertandingan di DUN Jeram Padang kini dilihat tertumpu antara calon Barisan Nasional (BN) dan PH.
Katanya, jentera kempen kini memasuki fasa lebih agresif bagi memastikan semua pengundi di kawasan itu diberi penerangan mengenai manifesto PH untuk Negeri Sembilan serta tawaran khusus bagi DUN Jeram Padang.
Dalam pada itu, Manivanan berkata beberapa isu utama yang memerlukan perhatian segera ialah peluang pekerjaan, kemudahan infrastruktur termasuk jalan raya, capaian digital, bekalan air serta pendidikan.
Menurutnya, masih terdapat kanak-kanak yang tidak bersekolah dan perkara itu perlu ditangani segera melalui usaha turun padang oleh pasukan beliau.
“Kami memastikan jika pasukan kami melihat ada anak yang tidak ke sekolah, kami akan membantu memastikan mereka dihantar ke sekolah. Itu perkara asas yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Bagi menangani isu pekerjaan, beliau berkata pendekatan jangka panjang ialah menarik lebih banyak pelaburan ke kawasan berkenaan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Sementara itu, bagi penyelesaian jangka pendek, beliau berkata pihaknya merancang menggalakkan penyertaan belia dan penduduk dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), program NIOSH serta program Mahadesa yang melibatkan sektor penternakan dan pertanian.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja dapat membuka peluang pekerjaan malah membantu meningkatkan pendapatan usahawan tempatan dan mengurangkan beban kos sara hidup.