Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Fahmi Fadzil, berkata beliau akan membawa beberapa isu kebajikan yang dihadapi penduduk di Jeram Padang kepada agensi berkaitan selepas turun padang menziarahi keluarga-keluarga di kawasan itu bersama calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Manivanan Gowin.
Menurut Fahmi, lawatan itu bertujuan memahami sendiri keadaan penduduk, termasuk isu ekonomi, kesihatan serta keberkesanan bantuan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi kerajaan lain.
Beliau berkata terdapat keluarga yang berdepan masalah kesihatan berpanjangan sehingga memerlukan bantuan tambahan, khususnya bagi menampung kos perubatan dan keperluan asas seperti susu yang semakin mahal.
“Keadaan kesihatan mereka ada yang berpanjangan. Kita lihat keperluan perubatan dan juga makanan asas seperti susu yang kosnya sangat tinggi berbanding bantuan sedia ada.
“Perkara-perkara seperti ini akan saya bawa kepada perhatian agensi-agensi supaya dapat diteliti sama ada terdapat bentuk bantuan lain yang boleh diberikan,” katanya.
Mengulas perkembangan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Fahmi berkata pendekatan calon-calon PH kali ini lebih memberi tumpuan kepada usaha mendekati masyarakat dan menyelesaikan masalah setempat.
Beliau menyifatkan momentum kempen di Jeram Padang semakin positif apabila gerak kerja jentera dan jumlah program terus meningkat berbanding beberapa hari sebelum ini.
“Saya nampak berbeza dengan di Johor. Banyak usaha calon-calon kami sangat dekat dengan komuniti, menyentuh masyarakat, memahami isu dan cuba menyelesaikan masalah yang sangat lokal.
“Kalau dibandingkan beberapa hari lalu, dari segi jentera, gerak kerja dan jumlah program semuanya telah meningkat dengan sangat baik,” katanya.
Fahmi berkata PH akan terus memperhebat usaha mendekati pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda, warga emas, individu orang kurang upaya (OKU) serta pesakit terlantar.
Beliau turut mengakui faktor geografi Jeram Padang yang jauh daripada bandar utama seperti Kuala Pilah dan Seremban menyebabkan peranan agensi kerajaan amat penting dalam memastikan penduduk menerima bantuan yang mencukupi.
Katanya, PH akan terus memastikan isu-isu kebajikan penduduk di kawasan luar bandar diberikan perhatian agar bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.