[VIDEO] PH sudah buktikan 8 tahun tadbir Negeri Sembilan, PRN ini teruskan kerajaan yang stabil

July 20, 2026

Pakatan Harapan (PH) sudah membuktikan keupayaannya mentadbir Negeri Sembilan selama lapan tahun dengan mengukuhkan ekonomi, memperbaiki pentadbiran serta menjaga kebajikan rakyat.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pencapaian itu menjadi asas untuk rakyat meneruskan mandat kepada kerajaan yang stabil, berintegriti dan mempunyai perancangan jelas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya, rakyat Negeri Sembilan sebelum ini memberikan kepercayaan kepada PH bukan sekadar untuk menang pilihan raya, sebaliknya bagi memikul amanah dan bekerja membawa perubahan kepada negeri.

“Lapan tahun yang lalu, rakyat Negeri Sembilan telah membuat satu pilihan besar dengan memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk memimpin negeri ini.

“Kami sedar rakyat tidak memilih kami untuk mencari alasan. Rakyat memilih kami untuk bekerja mengukuhkan ekonomi, memperbaiki pentadbiran, membela kebajikan rakyat dan membina sebuah kerajaan yang bersih, stabil serta berintegriti,” katanya di Majlis Pelancaran Manifesto PH Negeri Sembilan, di sini, malam Isnin.

Aminuddin berkata, sepanjang tempoh pentadbiran PH, kedudukan kewangan negeri berjaya diperkukuhkan, selain pelaburan strategik bernilai berbilion ringgit berjaya ditarik bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Katanya, kerajaan negeri turut memperluaskan bantuan kebajikan, memperkukuhkan pendidikan serta memberi perhatian kepada usaha membantu rakyat memiliki rumah sendiri.

Beliau berkata, masih banyak perkara perlu dilakukan, termasuk memastikan usahawan tempatan berkembang, meningkatkan pendapatan petani dan penternak serta mewujudkan kehidupan yang lebih sejahtera untuk warga emas.

Dalam pada itu, Aminuddin mengumumkan hala tuju untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai “sentral koridor pembangunan harapan Malaysia” dan koridor pertumbuhan baharu negara.

Menurutnya, Negeri Sembilan mempunyai kedudukan strategik dalam jajaran pembangunan yang menghubungkan Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka.

“Negeri Sembilan akan menjadi pusat pertemuan baharu yang menghubungkan teknologi, logistik, inovasi dan modal insan,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan empat wilayah berkenaan tidak sepatutnya berlaku secara berasingan, sebaliknya perlu berkembang sebagai satu ekosistem yang saling melengkapi bagi menyatukan bakat, pelaburan, inovasi dan peluang.

Aminuddin berkata, visi berkenaan bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan visi untuk seluruh Negeri Sembilan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Katanya, PRN akan datang bukan sekadar memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tetapi menentukan arah tuju negeri itu.

“Pilihan raya ini adalah pilihan tentang arah tuju negeri ini. Sama ada kita mahu meneruskan sebuah kerajaan yang stabil, berintegriti dan mempunyai perancangan yang jelas atau kita mahu kembali kepada politik yang sentiasa berubah mengikut percaturan kuasa,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Negeri Sembilan sudah matang dan tidak mahu politik yang memecah-belahkan, sebaliknya mahukan politik yang menyatukan serta pemimpin yang mampu menunaikan amanah.

“Rakyat tidak mahu sekadar mendengar tentang harapan. Rakyat mahu melihat harapan itu diterjemahkan menjadi peluang pekerjaan, pendidikan yang lebih baik dan kehidupan yang lebih jelas,” katanya.

Aminuddin menyeru rakyat bersama-sama membina Negeri Sembilan yang lebih makmur, berdaya saing, inklusif, lestari dan membanggakan demi generasi akan datang.

Beliau turut membawa tema kesinambungan pentadbiran PH dengan slogan “Lapan Tahun Membina, Lima Tahun Melonjak” bagi meneruskan pembangunan Negeri Sembilan ke arah 2045.