Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan kebocoran data peribadi membabitkan pempengaruh terkenal, Khairul Aming, selepas timbul kebimbangan mengenai kemungkinan akses tanpa kebenaran terhadap maklumat pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau memandang serius perkara itu kerana dakwaan yang dikongsikan Khairul Aming memberi gambaran bahawa terdapat individu yang tidak sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat peribadi pengguna, selain berkemungkinan memperoleh akses kepada inventori atau sistem milik syarikat telekomunikasi berkenaan.
Menurut beliau, wakil syarikat telekomunikasi terbabit telah memaklumkan bahawa mereka sedang menghubungi Khairul Aming bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai insiden berkenaan.
“Saya akan minta pihak MCMC mendapatkan laporan penuh. Sekiranya ada mana-mana pihak yang mengalami insiden sama, sila buat laporan kepada MCMC supaya kita mempunyai rekod dan bukti untuk tindakan susulan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri International Regulator Conference (IRC) 2026.
Fahmi berkata, penyebaran maklumat yang boleh mengenal pasti identiti seseorang atau Personally Identifiable Information (PII) merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang didapati bersalah.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata kerajaan melalui Kementerian Digital sedang menggubal undang-undang khusus bagi mengawal selia penggunaan kecerdasan buatan (AI), manakala MCMC akan terus memantau sebarang isu berkaitan keselamatan data dan mengambil tindakan apabila perlu.
Beliau memberi contoh tindakan MCMC sebelum ini yang menghubungi platform X susulan penyalahgunaan Grok AI untuk menghasilkan imej tidak sesuai, sekali gus membawa kepada pelaksanaan langkah-langkah perlindungan oleh platform berkenaan.
Selain itu, beliau menggesa orang ramai yang menjadi mangsa penyalahgunaan gambar atau wajah menggunakan AI tanpa kebenaran supaya membuat aduan kepada platform berkaitan dan juga MCMC bagi membolehkan tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Menyentuh pelaksanaan Risk Mitigation Code (RMC) dan Child Protection Code (CPC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian, Fahmi berkata proses pelaksanaannya sedang berjalan dengan baik dan platform media sosial menunjukkan kerjasama positif.
Katanya, walaupun pelaksanaan memerlukan sedikit masa, kegagalan mematuhi kod yang telah diwartakan boleh mengakibatkan tindakan mahkamah serta penalti kewangan yang tinggi, termasuk denda sehingga RM10 juta.
Mengulas cabaran masa depan ekosistem digital negara, Fahmi berkata aspek paling penting ialah meningkatkan literasi digital dan kepercayaan masyarakat terhadap sistem digital.
Beliau berkata, penggunaan AI dan ekonomi digital mampu membantu merapatkan jurang pembangunan, namun usaha memperkukuhkan literasi digital dan membina kepercayaan terhadap teknologi perlu diberi keutamaan bagi memastikan transformasi digital negara berjalan dengan selamat dan mampan.