[VIDEO] Tak guna cakap Melayu Islam kalau belut, boneka DAP inilah bela rakyat bukan gila kuasa

July 23, 2026

Calon DUN Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa perjuangan membela rakyat lebih penting daripada sekadar memainkan sentimen Melayu dan Islam, sambil menyifatkan tuduhan beliau sebagai “boneka DAP” tidak berasas.

Beliau berkata, pelbagai dasar dan inisiatif yang dilaksanakan sepanjang pentadbiran kerajaan negeri membuktikan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum.

Antara pencapaian yang diketengahkan ialah pelaksanaan penukaran status tanah daripada leasehold kepada freehold, yang menurutnya memberi manfaat kepada pemilik rumah termasuk orang Melayu di negeri itu. Selain itu, kerajaan negeri turut memperoleh kelulusan pembinaan empat masjid dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan serta memperuntukkan RM15 juta bagi pembinaan Sekolah Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Tampin dan menaik taraf sekolah agama di bawah kerajaan negeri.

Aminuddin turut mengumumkan bahawa manifesto PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) menawarkan lebih banyak inisiatif kebajikan dengan memperluaskan manfaat kepada golongan M40 di samping meneruskan bantuan kepada B40.

Menurutnya, antara tawaran yang disediakan ialah peningkatan bantuan warga emas, kenaikan bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT), bantuan sara hidup pelajar universiti, biasiswa anak negeri, bantuan peralatan ortopedik serta pembelajaran TVET secara percuma di bawah Yayasan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga berjaya mengukuhkan kedudukan kewangan Yayasan Negeri Sembilan sehingga mampu memperluaskan pelbagai bentuk bantuan kepada pelajar dan golongan yang memerlukan.

Dalam masa sama, Aminuddin mendakwa pentadbiran PH lebih mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding perebutan kuasa politik, selain menyeru pengundi terus memberikan mandat kepada gabungan itu bagi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan di Negeri Sembilan dapat diteruskan.