Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus selesa meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan kerana semua parti berkongsi matlamat sama untuk menjaga kepentingan rakyat dan kestabilan negara.
Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata, keserasian antara parti-parti kerajaan bukan bermaksud wujud sikap terlalu selesa, sebaliknya lahir daripada persefahaman untuk mengelakkan rakyat terus dibebani dengan konflik politik yang berpanjangan.
“Rakyat mesti tidak dipersulitkan dengan polemik berlarutan dan perbezaan pendirian atau pandangan setiap masa,” katanya dipetik laporan media semasa temu bual khas sempena ulang tahun ke-80 UMNO.
Menurut beliau, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan memilih untuk mengetepikan perbezaan politik demi memastikan agenda yang dijanjikan kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan kini memberi fokus kepada isu yang menjadi persamaan dalam manifesto parti-parti gabungan, termasuk kos sara hidup, pendidikan dan peluang pekerjaan.
“Dalam soal pendidikan dan pengangguran, tidak ada pertikaian antara parti-parti yang bertanding,” katanya lagi.
Beliau turut mendedahkan hampir 47 peratus kandungan manifesto parti-parti yang membentuk kerajaan mempunyai persamaan, sekali gus menjadi asas kukuh kepada kerjasama sedia ada.
“Kenapa kita mahu melayan perbezaan jika kita mempunyai matlamat yang sama?” katanya.
Tambah beliau, sebarang perbezaan pandangan antara parti akan diselesaikan menerusi Majlis Perundingan Antara Parti bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara bersama.
Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas PRU-15 pada 2022 apabila tiada gabungan politik berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan sendiri.
Gabungan itu diterajui Pakatan Harapan bersama BN serta disokong beberapa parti lain termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan semua parti termasuk DAP menghormati empat asas utama dalam Perlembagaan Persekutuan melibatkan Islam, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu.
“Mereka bukan sekadar menghormati, tetapi mengakui perkara itu adalah hakikat yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
PAS buat pusingan-U, Hadi umum Hamzah jadi Ketua Pembangkang bukan Samsuri
Hamzah umum parti baharu, tapi tidak letak jawatan seperti Rafizi
AMK kenal pasti calon muda hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan: Kamil
Tei terima pelawaan debat dengan bos J-KOM isu sekatan media sosial
Zahid tegur pemimpin DAP jaga lidah, hormati rakan kerjasama
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi