UMNO Sabah.
Ketegangan antara beberapa pemimpin UMNO Sabah menyebabkan Presiden, Ahmad Zahid Hamidi terpaksa campur tangan dan mencari jalan penyelesaian segera sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17).
Zahid menggesa supaya UMNO Sabah tidak berpecah dengan mempunyai banyak kumpulan berasingan dan semua pemimpin digesa untuk berada dibawah satu payung bersama Barisan Nasional (BN) Sabah.
“Tiada kumpulan Bung Moktar (Bung Moktar Radin), tiada kumpulan Abdul Rahman (Abdul Rahman Dahlan), tiada kumpulan Salleh Said (Salleh Said Keruak) dan tiada kumpulan Yakubah Khan (Yakub Khan), kita hanya ada kumpulan BN Sabah,” katanya berucap semasa Majlis Pelancaran Gerak 17 UMNO Sabah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Sepanggar semalam.
Kenyataan Zahid itu mungkin merujuk perbezaan pendapat di antara Bung Moktar dan Rahman dalam beberapa isu sehingga menimbulkan persepsi wujud beberapa kumpulan dalam UMNO Sabah.
Pada Jun tahun lalu, Bung Moktar menegur tindakan Rahman menjemput Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor ke majlis perasmian mesyuarat UMNO Tuaran yang didakwanya sebagai ‘tidak tepat dan silap’.
Menurutnya, ini kerana majlis itu seharusnya menjadi platform buat Zahid menyampaikan amanat dan strategi kepada ahli UMNO namun terbatas dengan kehadiran pemimpin luar seperti Hajiji.
Rahman pula menegaskan UMNO Tuaran diketuainya mempunyai hak menjemput sesiapa sahaja selain menjelaskan keputusan menjemput ketua menteri Sabah itu kerana menghormati formasi kerjasama kerajaan perpaduan di peringkat nasional.
Pada 27 Mac lalu, Bung Moktar dilaporkan berkata pihaknya bersedia mencalonkan Rahman di DUN Sulaman sesuai dengan kedudukan sebagai ketua UMNO Tuaran dan kampung asalnya di kawasan terbabit.
Mengulas lanjut, Pengerusi BN itu berkata, UMNO tidak boleh lagi membiarkan situasi perbalahan berlaku dalam kalangan pemimpinnya kerana ia antara punca kekalahan parti itu dan BN pada pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.
“Kita sudah kecundang dua kali kerana sibuk melayani perbezaan kita, masing-masing pemimpin ada ego dan yang menerima akibatnya ialah rakyat, gajah sama gajah bertarung yang mati kancil di tengah.
“Kita mahu tutup kisah itu dan buka buku baharu, buat kerja cara mahu menang,” katanya.
Zahid berkata, perbalahan antara pemimpin hanya menjejaskan rakyat tidak bersalah yang mahukan pembangunan dan usaha menyelesaikan masalah bekalan air, elektrik serta jalan raya dan pelbagai lagi isu.
SPR nafi tarikh PRU-16 tular
Desakan RCI mafia korporat hanya ‘Drama Politik’ DAP: Ahmad Fadhli
Najib teruskan rayuan hina mahkamah isu titah adendum
AMK: Kenyataan PM berhubung kesan ekonomi global perlu dipandang serius
Mas Ermieyati dan Ronald digantung keahlian Bersatu dua penggal
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan