Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
Barisan Nasional (BN) berikrar mengembalikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya gabungan itu kembali menerajui kerajaan Persekutuan pada masa depan.
Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau bersama kepemimpinan BN berazam mengembalikan sistem percukaian itu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekonomi negara.
“Saya berazam sama rakan-rakan dalam BN, kalau kita ke Putrajaya semula, kita terus kembalikan GST semula dalam sistem ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menggesa MCA supaya lebih lantang memperjuangkan pelaksanaan semula GST, yang menurutnya perlu diberi perhatian dalam agenda ekonomi BN.
Beliau berpandangan Malaysia ketinggalan dalam sistem percukaian apabila masih menggunakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sedangkan kebanyakan negara lain melaksanakan sistem cukai berasaskan nilai tambah (VAT).
“Saya amat bersetuju. GST mesti dikembalikan. Ini bukan soal kononnya SST lebih adil, lebih terfokus.
“GST dilaksanakan oleh lebih 170 negara. Hanya kita negara yang tertinggal, laksanakan SST. Kita menoleh semula ke belakang. Bossku telah melakukan yang terbaik dahulu,” katanya, merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Untuk rekod, GST diperkenalkan pada 1 April 2015 ketika pentadbiran Najib sebelum dimansuhkan pada 1 Jun 2018 selepas perubahan kerajaan susulan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sistem itu kemudian digantikan dengan SST yang kembali dikuatkuasakan pada September 2018.
GST merupakan cukai penggunaan berasaskan nilai tambah yang turut digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa. Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), sebanyak 175 negara dan wilayah melaksanakan sistem VAT setakat 1 Julai 2024.
Bagaimanapun, Amerika Syarikat tidak menggunakan sistem VAT, sebaliknya mengenakan cukai jualan di peringkat negeri dan tempatan.
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
Isu transaksi Jho Low: BNM diminta bertindak terhadap Deutsche Bank
Amanah buka pintu, Bersatu sedia teliti kerjasama baharu: Azmin
PRU-16: PH boleh pertimbang logo parti masing-masing
Jangan pertahan pemimpin rasuah kerana sebangsa: Mat Sabu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan