Kes panggilan scam.
Sebanyak 101.66 juta panggilan penipuan atau ‘spoof call’ berjaya disekat antara Februari hingga Ogos lalu menerusi kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat telekomunikasi tempatan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pelaksanaan sistem ‘Inter-operator Spoofing Gateway’ yang mula digunakan awal tahun ini menunjukkan keberkesanan dalam membendung panggilan daripada sindiket penipuan.
Menurutnya, jumlah panggilan yang disekat mencatatkan penurunan ketara pada Julai dan Ogos, sekali gus menunjukkan sistem berkenaan mampu mengesan dan mengekang panggilan mencurigakan dengan lebih pantas.
“Sistem ini berfungsi mengesan kegiatan *scammer* di luar negara yang menggunakan teknologi spoofing dengan memalsukan nombor telefon supaya kelihatan seperti panggilan daripada nombor tempatan.
“Melalui inisiatif ini, syarikat telekomunikasi berkongsi maklumat bagi menyemak status sebenar pemilik nombor telefon berkenaan sama ada berada di luar negara atau tidak.
“Sekiranya tidak, panggilan itu disahkan sebagai *spoof call* dan disekat serta-merta,” katanya pada program Tonton Wayang Bersama Ahli Parlimen Kulai, hari ini.
Berdasarkan rekod bulanan, sebanyak 28.92 juta panggilan disekat pada Februari, diikuti 19.51 juta pada Mac, 17.12 juta pada April, 20.91 juta pada Mei dan 13.11 juta pada Jun.
Jumlah itu kemudian menurun kepada kira-kira 2.4 juta panggilan bagi setiap bulan pada Julai dan Ogos.
*Spoof call* merujuk kepada teknik pemalsuan nombor telefon yang digunakan penipu untuk menyamarkan identiti sebenar pemanggil. Kaedah ini sering digunakan bagi meyakinkan mangsa kononnya panggilan datang daripada nombor tempatan atau pihak tertentu.
Dalam perkembangan lain, Nie Ching berkata MCMC akan mengadakan mesyuarat dalam talian bersama Meta esok susulan isu beberapa akaun WhatsApp yang dilaporkan digodam dan disekat.
Beliau berkata MCMC turut akan meneliti tahap pematuhan Meta terhadap Kod Mitigasi Risiko yang diterbitkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian.
“MCMC juga akan menyemak tahap pematuhan Meta terhadap Kod Mitigasi Risiko yang diterbitkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian.
“Keputusan dan tindakan lanjut berhubung isu akaun WhatsApp berkenaan bergantung kepada hasil dapatan mesyuarat itu kelak,” katanya.
Belanjawan 2027: Kementerian Komunikasi kemuka lebih 20 inisiatif
ASM3 pecah rekod 7 tahun, tatakelola jadi kunci: PMX
Kerajaan mahu lebih ramai rakyat capai simpanan KWSP RM390,000
SPRM tahan bekas pegawai dalam skandal UiTM Holdings: Laporan
Bekas CEO Felda Investment didakwa tipu nilai 24 tanah Felda
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum