Sistem Amaran Awal (EWS) yang sedang dilaksanakan MCMC.
Orang ramai disaran mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing bagi memastikan peranti mereka bersedia menerima amaran kecemasan menerusi Sistem Amaran Awal (EWS) yang sedang dilaksanakan secara berfasa.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengguna dapat menerima maklumat kecemasan dengan pantas apabila sistem berkenaan beroperasi sepenuhnya.
EWS menggunakan teknologi ‘Cell Broadcast System’ (CBS) yang membolehkan amaran dihantar secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi dikenal pasti.
Menariknya, sistem itu tidak memerlukan pengguna memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan sebarang perkhidmatan khusus.
Sebagai persediaan awal, MCMC memaklumkan pengguna iPhone perlu menggunakan iPhone 11 dan model lebih baharu dengan sistem operasi iOS 27.2 atau versi terkini.
Bagi pengguna Android pula, peranti perlu menggunakan Android 12 atau versi terkini, manakala telefon Huawei perlu dilengkapi sistem EMUI 16 atau versi terkini.
MCMC turut menyarankan pengguna memasang kemas kini perisian terbaharu, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini dan memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan sekiranya fungsi itu tersedia.
Dalam perkembangan berkaitan, MCMC hari ini mengadakan sesi taklimat khas bersama ketua-ketua pengarang dan wakil media bagi memperkenalkan EWS, termasuk menjelaskan mekanisme penyampaian amaran serta peranan media dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.
Sesi berkenaan turut disertai demonstrasi menerusi ujian teknikal dalaman di bangunan MCMC di Cyberjaya.
MCMC menjelaskan aktiviti pada 19 November itu merupakan ujian teknikal dalaman bagi menilai keupayaan sistem serta mengenal pasti ruang penambahbaikan sebelum pelaksanaan lebih meluas.
“Pelaksanaan ujian pada skala lebih luas akan dibuat secara berfasa,” menurut kenyataan itu.
Pelaksanaan EWS membabitkan kerjasama MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Sistem berkenaan bertujuan memperkukuh keupayaan negara menyampaikan amaran kecemasan dengan lebih pantas dan tepat kepada penduduk di kawasan terjejas.
Untuk rekod, EWS merupakan antara usaha memperkukuh sistem penyampaian maklumat kecemasan negara, khususnya ketika berdepan bencana seperti banjir, tanah runtuh dan kejadian lain yang mengancam keselamatan orang ramai.
MCMC mengingatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk maklumat rasmi serta mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan.
EWS turut melengkapi saluran amaran sedia ada sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi sebarang kemungkinan.
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
Lima syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia
KDN kaji kawalan lebih ketat di pangkalan tentera, polis
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan