Najib Razak terlibat dalam skandal kewangan terbesar, 1MDB.
1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya mendakwa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak AS$5.6 bilion akibat penyelewengan dana, selain akan mengemukakan bukti bekas Perdana Menteri Najib Razak, mempunyai kawalan menyeluruh terhadap pengurusan syarikat pelaburan strategik negara itu.
Pada hari pertama perbicaraan saman sivil yang difailkan terhadap Najib dan tujuh individu lain, peguam mewakili 1MDB, Lim Chee Wee, berkata plaintif akan membuktikan melalui dokumen serta keterangan saksi bahawa Najib merupakan individu utama di sebalik penipuan yang didakwa berlaku dalam syarikat berkenaan.
Menurutnya, Najib menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, pihak yang mengawal Menteri Kewangan (Diperbadankan) serta pemegang saham tunggal 1MDB bagi mempengaruhi keputusan pengurusan dan Lembaga Pengarah syarikat.
“Plaintif akan membuktikan melalui keterangan dokumen dan saksi bahawa Najib adalah individu utama di sebalik penipuan 1MDB. Akibat penyelewengan dana itu, plaintif mengalami kerugian berjumlah AS$5.6 bilion,” katanya dalam kenyataan pembukaan kes.
Chee Wee turut mendakwa kuasa dan pengaruh itu digunakan untuk meluluskan beberapa transaksi luar biasa secara tergesa-gesa yang didakwa memberi manfaat kepada Najib, isterinya Rosmah Mansor, anak tirinya Riza Aziz serta ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low bersama individu berkaitan.
Beliau berkata, berdasarkan jawatan yang disandang sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dari 2009 hingga 31 Mei 2016, Najib mempunyai kawalan ke atas pihak pengurusan syarikat dan bertindak sebagai “shadow director” mengikut Akta Syarikat 1965.
Menurut Chee Wee, saman sivil itu bertujuan mendapatkan pertanggungjawaban terhadap Najib serta beberapa bekas pegawai kanan 1MDB yang didakwa terbabit dalam penyelewengan dana syarikat tersebut.
Beliau turut memaklumkan kes berkenaan mempunyai persamaan fakta dengan prosiding jenayah membabitkan penyelewengan dana 1MDB yang sebelum ini didengar di Mahkamah Tinggi.
“Kes saman ini membabitkan pengkhianatan terhadap amanah awam oleh seorang individu yang memegang kedudukan tertinggi dalam kepimpinan negara. Ia mengenai pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat dan kepentingan negara,” katanya.
Dalam hujah pembukaan itu, Lim turut merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Jenayah pada 26 Disember 2025 yang mensabitkan Najib atas empat pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta 21 pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA), sebelum dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM13.5 bilion.
Saman sivil tersebut difailkan pada 7 Mei 2021 oleh 1MDB bersama empat anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited.
Selain Najib, saman itu turut menamakan bekas Pengarah Kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng, bekas penasihat undang-undang Jasmine Loo Ai Swan, bekas pengarah eksekutif Casey Tang Keng Chee, bekas Ketua Pegawai Pelaburan Vincent Beng Huat Koh, bekas Ketua Pegawai Operasi Radhi Mohamad, bekas Pengarah Pelaburan Kelvin Tan Kay Jim dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.
Dalam writ saman, semua defendan didakwa melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan statutori, menyalahgunakan kuasa, berkomplot serta menyeleweng dana 1MDB.
Saksi pertama yang dipanggil memberi keterangan ialah Pengarah Siasatan firma penasihat kewangan dan risiko global, Kroll Advisory Ltd yang berpangkalan di United Kingdom, Richard Templeman.
Prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus bersambung pada sebelah petang.
Jerebu makin meluas, 29 kawasan catat IPU tidak sihat
Gempa bumi lemah 3.1 gegar perairan Batu Pahat
Syed Azman Tokoh Perdana Maulidur Rasul, Anwar ucap tahniah kepada semua penerima
Cadangan Audit forensik FELDA akan dibawa ke Kabinet: Anwar
Zahid sokong siasatan Tabung Haji selepas 2017
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri