Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Sebanyak 56,304 kandungan memudaratkan berunsur palsu dalam talian diturunkan oleh penyedia perkhidmatan bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 15 Oktober tahun ini, menurut Kementerian Komunikasi.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, jumlah itu merangkumi 86 peratus daripada keseluruhan 65,680 permohonan penurunan kandungan yang dikemukakan dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata, tindakan kawal selia dan penguatkuasaan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
Dalam tempoh sama, sebanyak 546 kes berkaitan kandungan palsu disiasat MCMC mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sebanyak 19 kes telah didakwa di mahkamah dan daripada jumlah itu, 12 kes mendapat keputusan dengan jumlah denda keseluruhan RM75,500, 34 kes dikenakan kompaun berjumlah RM1.72 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai statistik kes berita palsu sejak 2023, termasuk tindakan penguatkuasaan dan hukuman yang dikenakan, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Teo berkata, selain pendakwaan dan kompaun, sebanyak 74 kes menerima surat amaran, manakala 29 kes masih dalam siasatan dan 390 kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.
Menjawab persoalan mengenai pihak yang menentukan kesahihan sesuatu berita serta mekanisme semak dan imbang, beliau menjelaskan MCMC menilai aduan daripada agensi kerajaan, agensi penguat kuasa dan orang awam sebelum mengemukakan permohonan kepada penyedia platform untuk menurunkan kandungan yang disyaki melanggar undang-undang.
Bagaimanapun, keputusan akhir turut bergantung pada penilaian penyedia platform berkenaan.
“Pihak penyedia platform juga akan membuat penilaian mereka sendiri sama ada kandungan berkenaan melanggar undang-undang atau garis panduan komuniti mereka. Disebabkan itu, bukan semua permohonan daripada MCMC akan diturunkan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) mengenai langkah memperketat hukuman terhadap penyebaran berita palsu, Teo berkata kerajaan memerlukan sokongan semua Ahli Parlimen bagi membolehkan tindakan undang-undang lebih tegas diambil.
Beliau turut merujuk beberapa kes yang membawa kepada hukuman denda, termasuk penyebaran tuduhan kerajaan menjual diesel kepada Filipina serta penyuntingan gambar Buletin TV3 yang memaparkan maklumat palsu mengenai harga petrol RON95 dan diesel.
Menurutnya, kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut memudahkan penghasilan dan penyuntingan imej yang boleh mengelirukan orang ramai.
“Bagi memastikan rakyat tidak terperdaya dengan berita palsu, kita semua perlu menyokong kerajaan dan Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan undang-undang yang lebih tegas,” katanya.
Penyebaran berita palsu di media sosial terus menjadi cabaran kepada pihak berkuasa, terutama apabila kandungan yang dimanipulasi boleh tersebar dengan pantas sebelum kesahihannya disahkan. Orang ramai disaran menyemak sumber dan kesahihan maklumat sebelum berkongsi sesuatu kandungan bagi mengelakkan penyebaran maklumat mengelirukan.
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum