Fahmi menghadiri majlis penyerahan sumbangan Deepavali Parlimen Lembah Pantai, malam tadi.
Pakatan Harapan (PH) meletakkan sasaran mempertahankan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu, selain mengintai peluang merampas beberapa kerusi berpotensi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, strategi itu antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH bagi memperincikan persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan.
Beliau berkata, PH mengambil pendekatan realistik dengan menilai kekuatan gabungan itu di kawasan tertentu, namun tetap melihat ruang untuk menambah jumlah kerusi yang dimenangi.
“Kita lihat garis asas kita adalah kerusi yang ingin kita kekalkan. Pada masa sama, kita sedang mengintai peluang keemasan untuk merampas beberapa kerusi.
“Jika usaha, ikhtiar dan strategi yang kita manfaatkan kena pada tempatnya, tidak mustahil kita mampu membawa perubahan,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan Deepavali Parlimen Lembah Pantai, malam tadi.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, mesyuarat Majlis Presiden PH turut menerima taklimat mengenai tahap kesiapsiagaan jentera parti di Melaka daripada Pengerusi PH negeri, Adly Zahari dan Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim.
Menurutnya, calon PH yang diumumkan sebelum ini sudah meneruskan gerak kerja masing-masing bagi memastikan mereka bersedia menghadapi pertandingan pada hari penamaan calon, 31 Oktober ini.
“Saya lihat gerak kerja mereka diteruskan dan kita percaya menjelang 31 Oktober nanti, insya-Allah calon-calon daripada PH bersedia untuk berdepan dengan semua yang akan bertanding dalam PRN Melaka,” katanya.
PRN Melaka dijangka menjadi medan penting untuk PH menguji kekuatan sokongan pengundi, khususnya dalam persaingan mengekalkan kerusi sedia ada dan menembusi kawasan yang dikuasai parti lawan.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata mesyuarat itu turut mengambil maklum mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak serta beberapa usaha pelaksanaan reformasi kerajaan.
Sementara itu, bagi melancarkan urusan petugas media sepanjang PRN Melaka, sebuah pusat media utama kendalian Jabatan Penerangan akan beroperasi dari 30 Oktober hingga 14 November ini.
Pusat media berkenaan ditempatkan di Hotel Mudzaffar, Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh bagi memudahkan petugas media membuat liputan sepanjang tempoh pilihan raya.
MCA tak hadir di pelancaran jentera BN Masjid Tanah, krisis kerusi belum reda?
Mahkamah dengar cabaran pn terhadap penggantungan RoS 7 Disember
Lima tahun dibicarakan, pendakwaan tutup kes terowong Guan Eng
MCA semakin terpinggir dalam BN, dakwa pemimpin PKR
Kes tangkap basah: Nik Nazmi beri keterangan JAIS lebih empat jam
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum