Mahfuz Omar.
Mahfuz Omar mempersoalkan keikhlasan permohonan maaf Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh, susulan kontroversi kenyataannya yang didakwa menyentuh dan menghina beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW ketika satu ceramah di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Menurut Naib Presiden Amanah itu, permohonan maaf itu hanya dibuat selepas Nik Zawawi menerima tekanan dan kecaman pelbagai pihak, termasuk agamawan dan masyarakat umum.
“Sepatutnya dia terus minta maaf, bukannya selepas ditegur ramai pihak. Dalam video penjelasan awal pun dia bukan meminta maaf, sebaliknya memperkecilkan mereka yang menegur,” katanya dalam kenyataan.
Kontroversi itu tercetus selepas video ceramah Nik Zawawi tular di media sosial.
Dalam ceramah berkenaan, beliau menggunakan contoh kehidupan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam dengan menyebut beberapa sahabat Nabi, termasuk Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar, bagi menggambarkan perubahan berlaku selepas menerima hidayah Islam.
Kenyataan itu bagaimanapun mengundang kemarahan ramai pihak yang menganggap ia tidak wajar dan melampaui batas, lebih-lebih lagi melibatkan tokoh besar dalam sejarah Islam.
Nik Zawawi sebelum ini mempertahankan kenyataannya dengan menjelaskan ia dibuat dalam konteks sejarah masyarakat jahiliah dan bukan bertujuan menghina sahabat Nabi.
Namun selepas kecaman berterusan, beliau akhirnya tampil memohon maaf serta menarik balik beberapa ungkapan digunakan dalam ceramah tersebut.
“Saya mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat dan penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut. Justeru, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan itu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam masa sama, Nik Zawawi turut menjelaskan kisah berkaitan zaman jahiliah yang disebutnya tidak mempunyai riwayat kukuh dan sebahagiannya hanya bersandarkan riwayat lemah.
Mahfuz bagaimanapun menegaskan permohonan maaf sahaja tidak memadai dan PAS perlu mengambil tindakan terhadap pemimpin terbabit kerana isu itu telah “memalukan institusi ulama PAS”.
“Saya harap pihak berkuasa juga memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya lagi.
Lebih 10 wakil rakyat pembangkang berminat sertai ‘Rumah Bangsa’ UMNO
Keputusan kes Zahid ditangguh Jun ini
Rafizi bayang pengumuman politik besar Ahad ini
PRU-16 awal? Kerajaan fokus bantu rakyat terlebih dahulu: Fahmi
Saksi SPRM beritahu siasatan awal tidak cukup bukti dakwa Guan Eng
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil