Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diadakan sebelum September ini susulan kerajaan negeri melihat keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal tanpa menunggu tamat penggal pada hujung tahun.
Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh berkata, pilihan raya negeri hampir pasti berlangsung dalam tempoh kira-kira 120 hari dari sekarang bagi mengelakkan pertindihan dengan bulan Ramadan yang dijangka bermula awal tahun depan.
“Pastinya dalam tempoh 120 hari lagi sebab kita tidak boleh tunggu sehingga tarikh tamat pada 30 Disember ini kerana itu sudah hampir masuk bulan Ramadan.
“Jadi kita melihat waktu yang sesuai dalam tempoh 120 hari ini dan melihat kebolehupayaan untuk mengadakan pilihan raya mengikut perancangan,” katanya selepas menghadiri Majlis Sirih Pulang Ke Gagang di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah malam tadi.
Pada majlis itu, Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka menerima borang keahlian UMNO daripada 190 individu sekitar Parlimen Masjid Tanah.
Beliau berkata, persiapan menghadapi PRN sebenarnya telah dimulakan lebih awal sejak tahun lalu menerusi pengaktifan semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negeri.
“Kita dah mula gerak kerja sejak tahun lalu lagi kerana tempoh berkempen kebiasaannya hanya dua minggu.
“Melihat kepada penerimaan masyarakat di Melaka, kita yakin menjadi pilihan utama rakyat kerana kita berjaya membawa perubahan dalam landskap pentadbiran kerajaan negeri diterajui UMNO dan BN ketika ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau belum memutuskan sama ada BN akan bertanding secara solo atau meneruskan kerjasama dengan gabungan politik lain pada PRN nanti.
“Itu kita belum fikirkan lagi sama ada solo ataupun bersama. Kita akan tunggu masa sesuai untuk buat pengumuman,” katanya.
Untuk rekod, PRN Melaka pada 2021 diadakan susulan pembubaran DUN selepas krisis politik negeri.
Ketika itu, BN mencatat kemenangan besar apabila menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Bersatu berkempen dengan kekuatan sendiri, tak apa PAS tak mahu bantu: Muhyiddin
PRN Johor buka tirai, 56 kerusi jadi rebutan
Anwar nafi ada arahan halang masuk kawasan FELDA
Anwar ingatkan jentera PH jangan sombong hadapi pengundi Johor
SPR jual 553 borang calon menjelang hari penamaan PRN Johor
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar