Polis gagalkan cubaan seludup dadah RM57 juta di Muar

June 6, 2026 · Isu semasa

Polis berjaya menumpaskan satu cubaan menyeludup dadah bernilai lebih RM57 juta ke negara jiran selepas menahan dua individu dalam satu operasi khas di kawasan Parit Amat Laut, awal pagi semalam.

Serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu membabitkan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerusi Op Taring Landai-Intra/Inter Agensi.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Noor Azman Jamal berkata, operasi berkenaan dilancarkan hasil maklumat risikan yang mengesan aktiviti penyeludupan dadah di kawasan berkenaan.

“Setibanya di lokasi kejadian, pihak polis mengesan sebuah bot dan beberapa kenderaan dalam keadaan mencurigakan. Pemerhatian awal mendapati beberapa individu sedang memunggah bungkusan yang disyaki mengandungi dadah ke dalam bot yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihak polis kemudian menyerbu lokasi tersebut dan berjaya menahan dua suspek warga tempatan terdiri daripada seorang lelaki berusia 63 tahun dan seorang wanita berusia 43 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah.

Hasil pemeriksaan lanjut menemui sejumlah guni dan plastik hitam yang disembunyikan di dalam bot serta bonet beberapa kenderaan.

Rampasan itu membabitkan 517 bungkusan plastik bertanda “Guanyinwang” yang disyaki mengandungi syabu seberat 549 kilogram, selain 191,268 biji pil ekstasi dan 4,000 katrij cecair vape jenis Yakuza.

Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM57.15 juta.

Selain itu, polis turut menyita tujuh buah kereta bernilai RM204,487 serta sebuah sampan fiber bersama dua enjin Yamaha Enduro 85 kuasa kuda bernilai RM70,000.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah dianggarkan melebihi RM57.42 juta.

Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Muar untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Noor Azman berkata, pihaknya akan terus memperhebat operasi membanteras kegiatan penyeludupan dadah yang menggunakan laluan perairan negara.

“Masyarakat diseru menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu usaha membanteras sindiket dadah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.

Pantai barat Johor, termasuk kawasan perairan Muar dan Batu Pahat, sejak sekian lama dikenal pasti sebagai antara laluan yang sering digunakan sindiket untuk menyeludup dadah ke negara jiran kerana kedudukannya yang strategik serta mempunyai banyak laluan keluar masuk melalui sungai dan pesisir pantai.

Berita berkaitan
14 kertas siasatan dibuka sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan
July 26, 2026· Politik
PRN NS: Polis siasat dua lagi kes disyaki langgar undang-undang pilihan raya
July 21, 2026· Isu semasa
Polis buka dua siasatan kes rosak bahan kempen PRN Negeri Sembilan
July 20, 2026· Politik
Larian Syed Saddiq kutip lebih RM361,000 dalam dua hari
July 18, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Aminuddin gesa tindakan tegas terhadap pihak hina institusi diraja
16 jam lalu · Isu semasa
RCI Tabung Haji: Kerajaan buat keputusan Rabu ini
17 jam lalu · Isu semasa
CTPR: MCMC perkukuh kapasiti kawal selia digital Malaysia, ASEAN
17 jam lalu · Isu semasa
Jangan heret istana dalam politik : Istana Negeri Sembilan
19 jam lalu · Isu semasa
Ringgit dibuka tinggi menjelang PRN Negeri Sembilan: Bernama
23 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Peguam PH dakwa kenyataan Asyraf Wajdi boleh kelirukan rakyat, gesa PDRM dan SPR siasat
7 jam lalu
[VIDEO] Khaled Nordin lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
24 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok