Mohd Azmi Abdul Hamid.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran hasutan, ancaman dan kempen kebencian di media sosial susulan serangan bom petrol atau Molotov yang mengakibatkan kebakaran di kawasan kediaman warga Rohingya di Kulai, Johor, pada 13 Oktober lalu.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kejadian itu perlu diberi perhatian serius kerana penyebaran kandungan provokatif di media sosial berpotensi mencetuskan permusuhan dan mendorong keganasan fizikal terhadap sesuatu komuniti.
Beliau berkata, laporan mengenai empat lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 29 Oktober lalu atas pertuduhan melakukan khianat dengan api mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan menunjukkan kes berkenaan sudah memasuki proses perundangan.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan berhak mendapat perbicaraan yang adil.
“Provokasi tidak menghalalkan keganasan. Keganasan pula tidak boleh dibenarkan atas alasan mempertahankan maruah sesuatu kaum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MAPIM turut membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan kaitan antara penyebaran video tular yang memaparkan individu dipercayai warga Rohingya mencabar masyarakat Melayu dengan kejadian serangan di Kulai.
Bagaimanapun, pertubuhan itu menegaskan sebarang kaitan antara kandungan berkenaan dengan serangan perlu dibuktikan melalui siasatan, bukannya andaian atau tuduhan terbuka.
Menurut Mohd Azmi, individu yang mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan atau hasutan perlu dikenakan tindakan sewajarnya jika terbukti melanggar undang-undang. Pada masa sama, mereka yang melakukan serangan fizikal juga mesti dipertanggungjawabkan tanpa mengira latar belakang.
MAPIM menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi berkaitan menyiasat kandungan digital yang mengandungi ancaman, hasutan keganasan atau provokasi berasaskan kaum.
Pihak berkuasa juga perlu mempertingkat pemantauan di kawasan penempatan berisiko, melindungi mangsa dan saksi serta menyalurkan maklumat rasmi secara berkala bagi membendung berita palsu dan spekulasi.
“Keselamatan awam tidak boleh dikompromi. Mana-mana pihak yang menggunakan kebencian kaum, agama atau etnik untuk menggalakkan keganasan mesti berhadapan dengan tindakan undang-undang,” katanya.
Dalam masa sama, MAPIM mengingatkan masyarakat supaya tidak menyalahkan keseluruhan komuniti atas tindakan segelintir individu. Warga Rohingya yang menjadi mangsa serangan tidak seharusnya dijadikan sasaran kolektif atas kenyataan atau perbuatan pihak lain.
Pertubuhan itu turut mengakui isu pelarian, termasuk tekanan terhadap kemudahan awam, pekerjaan, perumahan dan penguatkuasaan imigresen, perlu ditangani melalui dasar yang jelas serta penguatkuasaan konsisten.
Namun, perbezaan pandangan mengenai dasar kerajaan dan pengurusan pelarian tidak sepatutnya dieksploitasi untuk membina kebencian etnik.
MAPIM turut menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan semula video, gambar atau dakwaan yang belum disahkan, khususnya kandungan yang boleh mencetuskan ancaman dan tindakan balas.
“Keadilan tidak boleh memilih kaum. Keselamatan tidak boleh memilih kewarganegaraan. Kemanusiaan tidak boleh tunduk kepada kebencian,” katanya.
MAPIM berharap kejadian di Kulai menjadi peringatan kepada semua pihak mengenai bahaya membiarkan kebencian dalam talian berkembang menjadi keganasan, sekali gus menggesa langkah pencegahan dilaksanakan sebelum berlaku tragedi lebih besar.
Dana Inovasi Media 2.0 diteruskan, lima skop pembiayaan ditawar: Fahmi
PRN Melaka: SPRM buka bilik gerakan 24 jam, orang ramai boleh buat aduan
MCMC menang tuntutan RM15.32 juta terhadap MajuBina
Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2027, perbahasan masuk fasa kedua
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum