Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah, susulan dakwaan tidak berasas berhubung sistem kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menurut KPT, pihaknya memandang serius tuduhan berulang yang dibuat oleh Haim Hilman yang mendakwa universiti awam kononnya “menjual tempat kepada orang berduit” serta mendakwa puluhan ribu pelajar memasuki IPTA melalui “pintu belakang”.
Kementerian berkata, dakwaan terbaharu itu dibuat menerusi rakaman video ucapan yang disiarkan di Facebook sempena Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan pada 13 Jun lalu.
“Tuduhan seperti ini bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara, termasuk universiti awam, pengurusan universiti, pegawai kerajaan serta ribuan pelajar yang mengikuti saluran kemasukan yang sah,” menurut kenyataan KPT hari ini.
Kementerian turut menegaskan ini bukan kali pertama dakwaan sedemikian dilemparkan oleh Haim Hilman terhadap KPT.
Sehubungan itu, KPT memaklumkan pihaknya sedang meneliti semua aspek berkaitan sebelum membuat keputusan mengenai tindakan lanjut yang bersesuaian, termasuk dari sudut perundangan.
Menurut kementerian itu, pihaknya sentiasa terbuka menerima kritikan dan pandangan yang membina, khususnya yang berasaskan fakta serta bukti yang sahih.
“KPT sentiasa terbuka kepada kritikan yang membina dan berasaskan fakta. Namun, sebarang tuduhan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi negara mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh,” katanya.
Dalam masa sama, kementerian menegaskan ia tidak akan berkompromi dengan sebarang kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik institusi pendidikan tinggi negara tanpa asas yang jelas.
“KPT tidak akan membenarkan mana-mana pihak melemparkan tuduhan yang mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara tanpa bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat,” menurut kenyataan itu lagi.
Sistem kemasukan ke universiti awam ketika ini dikendalikan menerusi Unit Pusat Universiti (UPU) yang menggunakan beberapa kriteria termasuk pencapaian akademik, merit dan syarat khas program pengajian.
KPT sebelum ini berulang kali menegaskan proses kemasukan ke IPTA dilaksanakan secara telus dan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi memastikan peluang yang adil kepada semua calon yang layak.
Sambutan Hari Peneroka ditangguh atas permintaan kerajaan Johor sendiri? – Sumber
Harga diesel turun 30 sen, subsidi kerajaan cecah RM3.5 bilion sebulan
Berfikir sebelum bertindak, Sultan Nazrin ingatkan pemimpin
13 individu direman, SPRM bongkar sindiket rasuah RM2.5 juta
Dakwaan masuk universiti secara tidak sah perlu dibuktikan: Zambry
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar